Ahad, 20 March 2016 | 7:26pm

Keningau catat bacaan suhu tertinggi di Sabah


CUACA panas terik tidak menghalang pekerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melakukan kerja penyambungan kabel elektrik yang terbakar, berhampiran Kampung Lakang, Tamparuli. - Foto Lano Lan

KOTA KINABALU: Keningau mencatat bacaan suhu tertinggi di Sabah iaitu 36.8 Celsius setakat 2 petang tadi berikutan gelombang haba yang melanda negara ketika ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, lima lagi daerah di Sabah yang mencatat suhu melebihi 30 darjah Celsius ialah Ranau (34 darjah Celsius) dan Tawau (33.7 darjah Celsius).

Kota Kinabalu mencatat bacaan suhu keempat tertinggi iaitu 32.8 darjah Celsius, diikuti Sandakan (31.7 darjah Celsius) dan Kudat (31.0 darjah Celsius).

Bahang panas yang memuncak di Keningau yang terletak kira-kira 131 kilometer dari sini, turut menjejaskan aktiviti harian penduduknya.

Penduduk Keningau, Cappley Attap, 45, berkata cuaca panas dan kering yang melanda daerah itu hari ini dirasakan lebih teruk berbanding hari sebelumnya.

"Cuaca di Keningau sekarang panas terik. Hari ini adalah hari yang terlampau panas," katanya ketika dihubungi.

Penjawat awam, Aloysius Opong, 49, berkata walaupun berada di dalam rumah, namun bahang panas amat dirasai.

"Cuaca panas dirasai sejak 12 tengah hari tadi," katanya sambil memberitahu bahawa tanaman sayurnya juga terjejas akibat cuaca panas.

Jovita Pamela, 43, pula memilih untuk kurang keluar rumah bagi mengelak terdedah kepada komplikasi kesihatan seperti strok haba. - BERNAMA

Berita Harian X