Jumaat, 18 March 2016 | 7:16pm

Gelombang haba di 6 kawasan sehingga akhir Mac


BACAAN pada termometer di kawasan Chuping merekodkan suhu setinggi 39 darjah Celcius berikutan keadaan cuaca panas yang berpunca daripada fenomena El Nino. Kerajaan akan mengisytiharkan "Kecemasan Gelombang Haba" di kawasan yang mencapai suhu melampau melebihi 40 darjah Celsius selama atau melebihi tujuh hari dalam tempoh cuaca panas dan kering yang berpanjangan. - Foto Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Enam kawasan yang ketika ini dilaporkan mengalami gelombang haba akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya akhir bulan ini.

Enam kawasan terbabit adalah Chuping di Perlis, Alor Setar di Kedah, Ipoh dan Lubuk Merbau di Perak serta Batu Embun dan Temerloh di Pahang.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail, berkata pemerhatian pihaknya mendapati suhu di enam kawasan itu masih pada tahap tinggi antara 37 hingga 39 darjah Celsius.

"Tidak mustahil suhu di beberapa kawasan yang dilaporkan boleh mencapai 40 darjah Celsius seperti rekod tertinggi 40.1 darjah Celsius di Chuping, pada tahun 1998 ketika fenomena El Nino.


SEKUMPULAN gajah di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Lancang, terpaksa dimandikan 10 kali sehari berikutan keadaan cuaca panas yang berpunca daripada fenomena El Nino. - Foto BERNAMA

"Ini terutama kawasan Chuping yang pada 14 Mac lagi suhu sudah mencecah 39 darjah Celsius," katanya ketika dihubungi BH, di sini sebentar tadi.

Laman web Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini menunjukkan susu di Alor Setar, Kedah mencecah 37 darjah Celsius, Chuping (39 darjah Celsius), Ipoh dan Kuala Kangsar di Perak masing-masing 36 darjah Celsius), Batu Embun, Jerantut dan Temerloh di Pahang (masing-masing 37 darjah Celsius).

Berita Harian X