Khamis, 17 March 2016 | 10:45pm

Dr Vida beri penjelasan status siaran langsung


PENAJA utama Kelantan, Dr Vida. - Foto Syamsi Suhaimi

MADRID: Penaja utama Kelantan, Dr Vida menjelaskan beliau bukan membeli, sebaliknya cuba mendapatkan hak penyiaran siaran langsung membabitkan pasukan itu melalui penajaan ke atas stesen televisyen Media Prima Berhad (MPB) sebanyak RM2.8 juta.

Bagaimanapun, Dr Vida atau nama sebenar Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berkata, beliau terpaksa akur dengan keputusan MPB yang terikat kontrak dengan badan pengelola Liga Malaysia (Liga M), Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk menyiarkan perlawanan membabitkan pasukan yang hebat.

"Saya terpaksa akur dengan keputusan MPB melalui TV3 yang mahu adil dalam menyiarkan semua pasukan. Mereka memerlukan perlawanan yang hebat bagi mendapat tontonan yang ramai.

"Tajaan RM2.8 juta ini hanya untuk Liga Super saja memandangkan Kelantan tersingkir daripada Piala FA. Tapi jika Kelantan bermain hebat, mereka perlu utamakan skuad ini tambahan pula kalau ia turut dituntut penyokong.

"Disebabkan itu saya ambil inisiatif membuat lawatan ke Eropah supaya dapat memikirkan nilai komersial yang lain dapat membangunkan pasukan Kelantan. Saya perlu tahu apa yang menyebabkan ramai orang mahu menyaksikan perlawanan selain perlu mempunyai pasukan hebat," katanya.

Akhbar semalam melaporkan Dr Vida tidak pernah membeli hak penyiaran siaran langsung televisyen MPB menerusi TV3 membabitkan perlawanan Kelantan bagi aksi Liga M, musim ini.

Perkara itu dijelaskan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Ismail Md Noor selepas timbul salah faham mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Dr Vida berkata, beliau akan melakukan sesuatu kepada pasukan PQPTRW bagi membolehkan pembangunan sukan bola sepak Kelantan diteruskan.

"Saya komited dengan impian untuk memajukan Kelantan. Apa pun saya akan berusaha yang terbaik dan amat memerlukan sokongan daripada penyokong," katanya.

Berita Harian X