Rabu, 16 March 2016 | 5:30pm

Najib lancar Merdeka PNB118


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kanan) melihat model Projek Warisan Merdeka di majlis pelancaran projek berkenaan di Tapak Warisan, Jalan Stadium, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi menamakan Projek Warisan Merdeka fasa pertama yang dilancar hari ini sebagai Merdeka PNB118.

Ia diumumkan Perdana Menteri ketika berucap melancarkan projek bersejarah itu di tapak Pembangunan Projek Warisan Merdeka di sini, sebentar tadi.

Beliau turut menyifatkan pembinaan bangunan ikonik oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang dijangka siap pada 2020 itu, sebagai satu yang istimewa dan bermakna bukan saja kepada PNB yang akan menyambut ulang tahun ke-38 esok, malah buat seluruh rakyat.

"Saya kagum di atas keputusan yang diambil oleh PNB untuk membeli hartanah Stadium Merdeka ini pada tahun 2000. Bangunan yang bakal dibina ini juga adalah bangunan kedua tertinggi di Asia selepas Menara Shanghai.

"Kini, tibalah masa dan ketikanya untuk PNB meraih peningkatan nilai daripada pemilikan hartanah bersejarah ini menerusi projek tiga fasa pembangunan Warisan Merdeka," katanya. Yang turut hadir, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Beliau berkata, pembinaan projek berkenaan juga bakal menjadi salah satu simbol kebanggaan dan manifestasi kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Najib berkata, pencapaian PNB setakat ini juga telah memberi makna yang besar terhadap pencapaian negara demi kesejahteraan rakyat.

'Kewujudan PNB dan syarikat-syarikat pelaburannya secara tidak langsung berjaya menstruktur ekonomi dan sosio rakyat Malaysia.

'Kini kita boleh berbangga melihat anak-anak Bumiputera meneraju, mengurus dan menjalankan operasi perniagaan dalam pelbagai sektor dan bidang ekonomi terpenting negara," katanya.

Warisan Merdeka adalah sebuah projek pembangunan bercampur yang dibangunkan dalam tiga fasa, diatas tapak berkeluasan kira-kira sembilan hektar.

Keseluruhan projek ini yang mengandungi tiga fasa itu akan siap sepenuhnya pada 2024. Kerja-kerja asas untuk fasa pertama yang membabitkan projek menara 118 tingkat sudah dimulakan pada tahun 2014.

Fasa pertama menara 118 tingkat dan tujuh tingkat pusat membeli belah dijadual siap pada 2020, akan mengandungi empat komponen iaitu 82 tingkat lantai pejabat; 18 tingkat dikhaskan untuk hotel mewah bertaraf enam bintang; 18 tingkat untuk 'sky lobby', 'observation deck' dan juga fasiliti mekanikal dan elektrikal serta sebuah pusat beli belah berkeluasan 900,000 kaki persegi.

Kos pembangunan bagi fasa pertama menelan belanja RM5 bilion selain jangkaan mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan.

Projek diumum Najib pada pembentangan Bajet 2011 lalu itu dibangunkan bersebelahan Stadium Merdeka dan Stadium Negara untuk tempoh 10 tahun.

Kedua-dua stadium itu akan dikekalkan dan dipelihara sebagai bangunan warisan. Ia akan dibangunkan anak syarikat milik penuh PNB, iaitu PNB Merdeka Ventures.

Lembaga pengarah PNB mula berbincang membangunkan projek pembangunan hartanah itu sejak 2004 selepas PNB membeli tanah di kawasan berkenaan daripada Pengurusan Danaharta Nasional Bhd pada tahun 2000 membabitkan kos RM310 juta.

Berita Harian X