Selasa, 15 March 2016 | 1:57pm

MMC mahu syarat kemasukan pelajar perubatan diperketat


DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mencadangkan syarat kemasukan universiti yang lebih ketat kepada pelajar perubatan bagi mengawal standard kelayakan mereka mengikut Akta perubatan 1971.

Presidennya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata cadangan itu akan diputuskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) seperti diperuntukkan undang-undang negara.

"Jika diluluskan, ia membolehkan MMC bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memantau prestasi pelajar perubatan selain mengadakan lawatan akreditasi di semua universiti tempatan serta luar negara."

"MMC dan MQA akan memastikan semua diserap menjadi pakar perubatan mempunyai kriteria dan kelayakan ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Kesihatan mengulas isu dibangkitkan Pengamal Perubatan Malaysia Untuk Tanggungjawab Sosial (MPSR) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengenai prestasi, tuntutan 'housemanship' dan kelayakan masuk minimum pelajar perubatan Malaysia terutama di universiti luar negara. 

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata kajian dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan sejumlah besar graduan perubatan yang mengikuti 'housemanship' mencatatkan prestasi kurang memuaskan.

"Prestasi 'housemanship' dipersoalkan apabila ada antara mereka tidak cekap melakukan prosedur asas pemeriksaan kesihatan.

"Universiti luar negara mengehadkan pendedahan pelajar kepada pengalaman praktikal, ia menjadi faktor penting untuk memastikan mereka bersedia untuk ke fasa seterusnya," katanya.

Selain itu, katanya, kebanyakan universiti terbabit mengabaikan sistem 'No Objection Certificate' (NOC) yang meletakkan syarat pengiktirafan kelayakan dari negara asal.

"Sebelum ini, pelajar yang ingin mengikuti kursus perubatan di luar negara dikehendaki menggunapakai sistem NOC daripada KPT bagi mengetahui kelayakan masuk minimum sama seperti yang ditetapkan bagi kemasukan ke universiti-universiti tempatan.

"Kebanyakan Universiti terbabit mengabaikan NOC dan membawa masuk pelajar yang mempunyai kelayakan lebih rendah. Mereka juga melaksanakan program sendiri kononnya untuk mengasah potensi mereka," katanya.

Berita Harian X