Isnin, 14 March 2016 | 12:02am
SOKONGAN teknologi 4G menggunakan Cat6 LTE dengan kepantasan sehingga 300Mbps melancarkan pautan internet bagi setiap milisaat. - Foto Halim Salleh

Mate 8 jadi taruhan terbesar Huawei


HUAWEI Mate 8 memiliki kehalusan reka bentuk yang cukup menawan dan elegan hasil penggunaan teknologi 2.5D berlian pemotong kaca dan teknik termaju dalam pemasangan badan aluminium metalik. - Foto Halim Salleh

SEWAKTU temubual eksklusif BH dengan Ketua Eksekutif Kumpulan Perniagaan Pelanggan Huawei, Richard Yu awal tahun lalu, beliau menyatakan secara serius hasrat gergasi elektronik global itu menjadi peserta utama pasaran peranti mudah alih pintar.

Kini Huawei membuktikan hasrat itu. Selepas mengukuhkan kedudukan sebagai pengeluar telefon pintar ketiga terbesar dunia di belakang Apple dan Samsung baru-baru ini, Huawei kini memperkenalkan satu lagi matador dalam gelanggang segmen telefon pintar premium dunia.   

Pelancaran telefon pintar Huawei Mate 8, mendapat perhatian umum sebagai taruhan terbesar untuk menjadi pesaing utama kepada jenama terkemuka lain.

Pertimbangkan asas ini, telefon pintar dipacu Android 6.0 Marsmallow itu memiliki prosesor paling pantas di pasaran iaitu tiga kali ganda berbanding pesaingnya dan bateri berkapasiti mega 4,000 mAh hampir sekali ganda lebih besar berbanding peneraju telefon pintar dunia.

Bahkan boleh dikatakan semua spesifikasi telefon pintar premium dimuatkan dalam model seberat 185 gram itu termasuk skrin FHD enam inci beresolusi 1080 x 1920 piksel; kamera 16 megapiksel (MP) belakang menggunakan penderia imej Sony IMX298 dan 8MP depan.

Semuanya ditawarkan hanya pada RM2,099 untuk varian Huawei Mate 8 standard; dan RM2,399 untuk varian premium, harga yang jauh lebih rendah berbanding peranti pintar dalam segmen yang sama.


TELEFON pintar dipacu Android 6.0 Marsmallow ini memiliki prosesor paling pantas di pasaran iaitu tiga kali ganda berbanding pesaingnya.

Memang sukar untuk dipercayai, namun ramai komentar teknologi turut menyuarakan  pendapat yang sama kepada Huawei Mate 8; ia adalah telefon pintar berkuasa tinggi dengan keupayaan terkini.

Jika enjin peranti pintar itu menjadi perbandingan, maka prosesor lapan teras 2.3GHz Kirin 950 dan 3GB RAM yang memacu operasi Huawei Mate 8 pasti tiada tandingan di pasaran setakat ini.

Berdasarkan pengujian, kepantasan cip prosesor ini jauh melangkaui prosesor milik telefon pintar milik gergasi elektronik dunia yang lain, membolehkan pengguna melancarkan pelbagai tugas serentak, pembahagian skrin, kepantasan sambungan dan cukup prestasi tinggi untuk melancarkan aplikasi berat.

Bahkan sokongan teknologi 4G menggunakan Cat6 LTE dengan kepantasan sehingga 300Mbps melancarkan pautan internet bagi setiap milisaat, menonton aliran video dan lebih menarik apabila cukup laju untuk 'kaki-gamers' menikmati pengalaman permainan video  terbaik.

Bagi pengguna Mate 7, pastinya mengagumi keupayaan pengimbas cap jari yang dibangunkan gergasi elektronik China ini di bahagian belakang telefon pintarnya.

Kini bagi Mate 8, Huawei sekali lagi melonjakkan kepantasan teknologi pengimbas cap jarinya hampir sekali ganda, mengurangkan kadar kesilapan imbasan dan memanfaatkan cip prosesor berkuasa tingginya untuk meningkatkan perlindungan sekuriti telefon pintar.


KAMERA 16 megapiksel belakang menggunakan penderia imej Sony IMX298.

Menepati keperluan golongan profesional moden terhadap kuasa bateri yang lebih besar dan jangka hayat yang lebih panjang Huawei tampil berani dengan memperkenalkan bateri telefon dengan kapasiti mega mencecah 4,000 mAh.

Gabungan resolusi skrin FHD 1080 piksel yang kurang menggunakan tenaga, ditambah keupayaan Kirin 950 dengan teknologi kuasa pintar EMUI 4.0 baharu dan bateri meganya, hasilnya kita kini memiliki telefon pintar yang boleh digunakan beberapa hari dengan hanya sekali caj.

Justeru tidak kira bagaimana pengguna menggunakan telefon pintar mereka sama ada secara berat, berterusan atau sekadar dalam mod bersedia, Mate 8 pasti dapat bertahan lebih lama berbanding mana-mana telefon pintar lain.

Bayangkan dengan hanya 30 minit caj, Mate 8 akan memiliki 37 peratus kuasa bateri, namun memadai untuk bertahan seharian dengan penggunaan secara biasa.

Seperti penampilan produk keluaran gergasi itu sebelum ini, Huawei tidak pernah mengecewakan pengguna dengan nilai estetika binaan dan rekaan telefon pintar jenamanya.

Berkonsepkan pembangunan teknologi mesra pengguna, Huawei Mate 8 memiliki kehalusan reka bentuk yang cukup menawan dan elegan hasil penggunaan teknologi 2.5D berlian pemotong kaca dan teknik termaju dalam pemasangan badan aluminium metalik.

Hasilnya, sentuhan rekaan yang cukup mewah dan binaan kukuh menjadikan Mate 8 cukup serasi dan selesa dipegang tanpa merasai kesan sambungan antara kaca dengan badan aluminium.


PELANCARAN telefon pintar Huawei Mate 8, mendapat perhatian umum sebagai taruhan terbesar untuk menjadi pesaing utama kepada jenama terkemuka lain. - Foto Halim Salleh

Spesifikasi Huawei Mate 8

Prosesor: Lapan Teras 2.3GHz Kirin 950

RAM: 3GB

Saiz skrin: 6.0inci

Resolusi skrin: 1,920x1,080

Kamera depan: 8 mega piksel

Kamera belakang: 16 mega piksel

Lampu flash: LED Berkembar

GPS: Ya

Kompas: Ya

Kapasiti storan: 32GB (24.6GB) / 64GB

Slot memori kad: microSD

Wi-Fi: 802.11ac

Bluetooth: Bluetooth 4.2

NFC: Ya

Sambungan tanpa wayar: 3G, 4G

Size: 157x81x7.9mm

Berat: 185g

Sistem operasi: Android 6.0

Kapasiti bateri: 4,000mAh

Berita Harian X