Jumaat, 11 March 2016 | 10:42am
- Gambar hiasan

Saham Asia dibayangi keputusan Bank Pusat Eropah

SYDNEY: Pengukuhan euro menghalang kenaikan pasaran saham Asia pagi ini selepas Bank Pusat Eropah (ECB) melaksanakan pelonggaran dasar secara agresif namun memberi bayangan ia kehabisan ruang untuk terus mengurangkan kadar faedah.

Bagaimanapun, pilihan untuk melaksanakan program rangsangan ekonomi lain masih terbuka kepada bank pusat itu.

Mesej yang dihantar oleh kenaikan pulangan bon Eropah menyebabkan pasaran saham Asia tidak dapat bertindak balas.

Indeks meluas MSCI saham Asia Pasifik di luar Jepun susut sedikit 0.08 peratus, manakala Australia jatuh 0.2 peratus.

Nikkei di Jepun pula terjejas teruk dengan kenaikan yen dan susut 1.5 peratus.

Pasaran melalui dagangan tidak menentu semalaman selepas pemimpin ECB, Mario Draghi memberi bayangan terdapat had kepada dasar kadar faedah negatif.

"Daripada persepektif hari ini dan mengambil kira sokongan ke atas langkah menangani pertumbuhan dan inflasi, kami tidak menjangkakan ada keperluan untuk terus mengurangkan kadar faedah," katanya.

Kenyataannya dianggap sebagai sesuatu yang membimbangkan.

Draghi bagaimanapun pantas menyatakan bahawa fakta baharu boleh mengubah tinjauan serta menekankan kesanggupannya untuk melaksanakan satu lagi langkah radikal, namun ia dianggap terlalu lewat. - Reuters

Berita Harian X