Jumaat, 11 March 2016 | 12:46am

Kien Keat-Boon Heong cipta kejutan


BEREGU profesional, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

KUALA LUMPUR: Beregu profesional, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mengubat sedikit kekecewaan dialami peminat badminton negara susulan kekalahan mengejut Datuk Lee Chong Wei di pusingan pertama Seluruh England apabila mengesahkan tempat ke suku akhir, sebentar tadi.

Kien Keat-Boon Heong mencipta kejutan apabila menewaskan pasangan nombor dua dunia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 21-15, 15-21, 21-17 dalam aksi pusingan kedua di Arena Barclaycard, Birmingham.

Sentuhan pasangan berpengalaman itu jelas masih berbisa dan meletakkan mereka antara pencabar utama untuk merebut gelaran juara pada tahun ini, sekali gus mengulangi pencapaian dilakar ketika menjuarai Seluruh England 2007.

Untuk aksi suku akhir, pasangan ke-17 dunia itu akan bertemu pemenang perlawanan antara rakan senegara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dengan beregu China, Chai Biao-Hong Wei yang akan beraksi dalam satu lagi aksi pusingan kedua yang dijangka berlangsung jam 2 pagi ini waktu Malaysia.

Arena badminton negara semalam dikejutkan dengan berita kekalahan Chong Wei di pusingan pertama apabila dia tewas kepada pemain India, B Sai Praneeth.

Berita Harian X