Khamis, 10 March 2016 | 8:27pm

Siti Nurhaliza keluar pakaian jenama sendiri


SITI Nurhaliza pada majlis pelancaran jenama pakaiannya sendiri di ibu kota, hari ini.

KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, meluaskan lagi empayar perniagaannya dengan mengeluarkan jenama pakaian sendiri.

Di bawah jenama Creacion by Siti Nurhaliza, penyanyi terbabit menghasilkan semua koleksi 'ready-to-wear' berkenaan berdasarkan ideanya sendiri. Pengeluaran pakaian terbabit dihasilkan Siti dengan kerjasama jenama hijab terkenal, Ariani.

Menurut penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Jerat Percintaan ini, sebagai wanita dan pencinta fesyen, perniagaan itu memang menjadi impiannya sejak dulu lagi.

"Selepas produk kosmetik, memang Siti teringin untuk mengeluarkan koleksi pakaian berjenama sendiri. Perbincangan dengan pihak Ariani untuk menghasilkan koleksi ini pula sudah lama diadakan, cuma baru sekarang ia menjadi kenyataan.

"Dari segi konsep dan rekaan, Siti diberi kebebasan untuk membuat pilihan manakala dari segi fabrik pula, semuanya dilakukan oleh Ariani kerana mereka lebih arif dan berpengalaman dalam hal itu," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Ariani x Creacion By Siti Nurhaliza yang diadakan di sebuah hotel di sini, sebentar tadi.

Hadir sama Pengarah Pemasaran Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn Bhd, Datin Farah Haryani Muhamad Philip.

Menurut bekas pemenang Bintang HMI 1995 ini, koleksi pakaiannya itu direka khusus untuk semua golongan wanita, sama ada berhijab ataupun tidak. Malah, wanita bertubuh gempal juga berpeluang bergaya dengan jenama terbabit apabila ia turut disediakan dalam pelbagai, saiz sehingga XXXL.

Selain koleksi pakaian, penyanyi berusia 37 tahun ini juga mengeluarkan dua koleksi hijab iaitu Ariani x Siti Nurhaliza dan Ariani Stockist x Siti Nurhaliza.

Kesemua koleksi berkenaan boleh didapati mulai esok di Butik Ariani, Jakel Mall, Kuala Lumpur.

Berita Harian X