Khamis, 10 March 2016 | 7:07pm

Pengambilan calon UEC, SMA/SMU untuk PISMP diteruskan

PUTRAJAYA: Pengambilan calon Sijil Peperiksaan Bersekutu (UEC), Sijil Menengah Agama (SMA) atau Sijil Menengah Ugama (SMU) untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Khas 2016 diteruskan tahun ini.

Kementerian Pendidikan, dalam satu kenyataan, menyatakan pengambilan UEC adalah dalam bidang pengkhususan Bahasa Cina Pendidikan Rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) manakala SMA dan SMU bagi bidang pengkhususan Pendidikan Islam Pendidikan Rendah di Sekolah Kebangsaan (SK).

"Syarat umum pengambilan ialah pemohon mesti warga Malaysia, umur tidak lebih 20 tahun pada 30 Jun ini iaitu lahir pada atau sebelum 30 Jun 1996, sihat tubuh badan dan lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan sekurang-kurangnya gred kepujian Bahasa Melayu selain lulus Bahasa Inggeris dan Sejarah.

"Bagi tawaran bidang pengkhususan Bahasa Cina Pendidikan Rendah di SJKC untuk lulusan UEC, dalam tempoh kursus persediaan, calon perlu mengikuti Kursus Khas dan lulus tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu Komunikasi, Sejarah serta Pendidikan Moral.

"Bagi tawaran bidang pengkhususan Pendidikan Islam Pendidikan Rendah di SK, dalam tempoh kursus persediaan, calon perlu mengikuti Kursus Khas dan lulus tiga subjek iaitu Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Sejarah serta Pendidikan Syariah Islamiah," katanya.

Sebagai syarat tambahan bagi calon lulusan UEC, Kementerian Pendidikan turut menetapkan calon perlu memiliki sekurang-kurangnya tiga kepujian peringkat sijil Senior Middle Level (UEC-SML).

Bagi calon lulusan SMA atau SMU, mereka perlu memiliki sekurang-kurangnya tiga kepujian peringkat SMA atau SMU.

Penetapan itu bertujuan meningkatkan mutu pendidikan dalam bidang berkenaan dan dilaksanakan secara 'one-off' atau sekali gus bagi Ambilan Khas 2016.

Ia juga diharap boleh membuka peluang kepada calon terbabit menjadi guru dalam kedua-dua bidang di sekolah rendah baik SJKC atau SK.

Permohonan secara dalam talian akan dibuka pada 17 Mac ini dan ditutup pada 27 Mac ini, melalui laman web Kementerian Pendidikan di www.moe.gov.my.

Berita Harian X