Rabu, 9 March 2016 | 12:11am
PENGUNJUNG datang dari jauh dan dekat semata-mata mahu menikmati keindahan Pantai Senok - Foto Faris Zainuldin
POHON rhu ditanam secara berbaris bagi melindungi Pantai Senok daripada hakisan. - Foto Faris Zainuldin
PENGUNJUNG bersantai bersama ahli keluarga kerana pepohon rhu yang teduh di Pantai Senok. - Foto Faris Zainuldin
PERMUKAAN tanah dipenuhi daun pohon rhu yang gugur membentuk pemandangan umpama hamparan permaidani. - Foto Faris Zainuldin
PENGANTIN, Noranil Haqim Mohd Yusof. - Foto Faris Zainuldin
PENDUDUK setempat, Aerma Idayu Yusoff. - Foto Faris Zainuldin
SEJAK keindahan Pantai Senok menjadi viral, ia menarik kunjungan ramai terutamanya pada hujung minggu. - Foto Faris Zainuldin
KEINDAHAN Pantai Senok juga menjadi pilihan untuk sesi fotografi. - Foto Faris Zainuldin
PANTAI Senok sangat sesuai menjadi latar sesi fotografi. - Foto Faris Zainuldin
PASANGAN pengantin, Wan Harun Wan Jusoh, 25, dan isteri, Noranil Haqim Mohd Yusof. - Foto Faris Zainuldin

Barisan pohon rhu tukar wajah Pantai Senok


BACHOK: Ribuan pohon rhu yang ditanam secara berbaris, bukan setakat melindungi Pantai Senok di sini daripada hakisan, malah mengindahkan lagi pemandangan kawasan terbabit.

Permukaan tanah kawasan itu yang teduh dan dipenuhi daun pohon rhu yang mati, membentuk pemandangan umpama hamparan permaidani. Justeru itu, tidak hairan kawasan itu diberi jolokan Pulau Nami 'Malaysia'.

Berlatar belakangkan deretan pohon rhu, ditambah dengan kreativiti menerusi komputer, membuatkan gambar yang dirakamkan di Pantai Senok itu, umpama suasana dalam filem Winter Sonata di Pulau Nami, Korea Selatan, yang menjadi kegilaan ramai rakyat Malaysia.

Terletak kira-kira 20 kilometer dengan perjalanan kira-kira 30 minit dari bandar Kota Bharu, lokasi terbabit kini menjadi pilihan pembikin drama, jurufoto dan pasangan pengantin untuk mengabadikan gambar kenangan di situ.


SELAIN pohon rhu, pengunjung turut bersantai di tepi Pantai Senok. - Foto Faris Zainuldin

Oleh kerana sering menjadi pilihan pasangan pengantin, syarikat Tour Event Network Sdn Bhd, yang menganjurkan program Islamic Wedding Festival (IWF) baru-baru ini, turut mengabdikan sesi fotografi di pantai terbabit.

Pengarah Operasi Tour Event, Nurzuriatey Yusoff, berkata sesuai dengan konsep perkahwinan yang menjadi tunjang utama IWF, Pantai Senok sangat sesuai menjadi latar sesi fotografi.

"Seperti Pulau Nami di Korea, saya rasa Pantai Senok yang menjadi pilihan ribuan pengantin dapat menjadi tarikan Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2016 seperti IWF yang akan diadakan pada 31 Mac hingga 2 April ini," katanya.

Keindahan Pantai Senok juga menjadi pilihan pengusaha produk untuk sesi fotografi terutamanya busana pengantin, tudung dan jubah.


PENGARAH Operasi Tour Event, Nurzuriatey Yusoff. - Foto Faris Zainuldin


KEADAAN sampah sarap yang bersepah angkara pengunjung yang tidak bertanggungjawab. - Foto Faris Zainuldin

Pereka fesyen, Ikhwan Haszeli, turut teruja merakamkan busana pengantin rekaannya di kawasan pantai berkenaan yang menawarkan suasana cukup berbeza.

"Pantai ini sangat unik. Kelebihan utamanya kerana pantai ini menawarkan suasana semula jadi yang cantik malah kita dapat bermain dengan kreativiti yang lebih lagi dengan rimbunan pohon rhu di sini," katanya.

Namun beliau sedikit terkilan melihat pantai yang indah itu tidak lari daripada menjadi mangsa pencemaran apabila banyak sampah-sarap dibuang pengunjung yang tidak bertanggungjawab.


PEREKA Fesyen, Ikhwan Haszeli. - Foto Faris Zainuldin


SUASANA semula jadi yang cantik membantu jurufoto menjadi lebih kreatif. - Foto Faris Zainuldin

Pasangan pengantin, Wan Harun Wan Jusoh, 25, dan isteri, Noranil Haqim Mohd Yusof, 24, sanggup mengharungi perjalanan hampir 100 kilometer dari Kuala Krai ke Bachok semata-mata mengabadikan detik bahagia mereka di pantai itu.

Penduduk, Aerma Idayu Yusoff, 28,  berkata sejak keindahan Pantai Senok menjadi viral, ia menarik kunjungan ramai terutamanya pada hujung minggu.

Katanya, keadaan kawasan yang damai, cantik dan berdekatan pantai juga sesuai untuk keluarga mengadakan aktiviti perkelahan, sambutan hari jadi dan riadah.

"Bagi penduduk, ini adalah sesuatu yang positif buat kami yang berharap kawasan ini semakin maju kerana menjadi tarikan pelancong secara tidak langsung ke Bachok.

"Namun, yang penting semua pihak perlu bekerjasama memelihara keindahan kawasan ini supaya kekal untuk kebaikan bersama," katanya yang tinggal kira-kira 100 meter daripada Pantai Senok.

Berita Harian X