Selasa, 8 March 2016 | 4:27pm

Kempen #30hari30gincu Nana Mahazan dapat sambutan


"SAYA tidak mahu dituduh tamak andai menerima saja apa yang datang," - SITI Nordiana. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Projek 'suka-suka' Nana Mahazan mengoles gincu setiap hari dan berkongsi di laman sosial di bawah #30hari30gincu ternyata memberi manfaat kepada pengacara popular ini.

Dengan tidak disangka-sangka, Nana dihubungi beberapa syarikat kosmetik terkenal yang berminat bekerjasama mempromosikan produk kecantikan.

Memasuki hari ke-26 Nana mengoles gincu berbeza setiap hari dan berkongsi di laman Instagram, ibu kepada dua cahaya mata ini terkejut dengan pelawaan syarikat kosmetik terbabit.

"Tak sangka projek 'suka-suka' ini diperhatikan pihak tertentu. Memang ada pihak yang mahu berbincang dan meneroka apa saja peluang kerjasama yang boleh dijalinkan," katanya kepada BH Online.

Bercerita mengenai kempen #30hari30gincu itu, Nana yang juga pengumpul tegar alat kosmetik itu memberitahu, semuanya bermula selepas dia menyahut cabaran teman.

"Saya terfikir, kenapa tidak disahut cabaran teman ini? Biarpun tampak senang sekadar mengoles gincu di bibir, saya tak ambil mudah hal ini.

"Malah saya memastikan gambar yang dimuat naik di laman Instagram cantik. Tidak hanya memakai gincu, saya juga mengambil masa mengenakan alis mata dan bercelak sebelum beraksi," katanya yang berkahwin dengan Mohamed Raqeem Brian.


SITI Nordiana nafi berlagak diva dan pilih bulu dalam menerima tawaran. - Foto Nik Hariff Hassan

Bahagia dengan keluarga

Nana berkata, dia sekadar berkongsi minat dalam projek 'suka-suka' itu.

"Tak sangka usaha saya itu menyentuh hati ramai pengikut. Malah, ada yang sebelum ini tak berani memakai warna gincu garang, mula mengoles rona itu pada bibir mereka.

"Secara tak langsung, saya cuba membina keyakinan diri apabila berdepan dengan orang ramai. Setidak-tidaknya, kalau nak keluar rumah, tak salahpun nak berhias serba sedikit.

"Nak melawa ini bukan untuk orang lain, tetapi lebih kepada menyerlahkan keyakinan diri. Hakikatnya, kebanyakan orang suka benda-benda yang cantik," katanya yang mengendalikan segmen karpet merah pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30, Januari lalu.

Mengenai kerjaya seninya, Nana yang mengendalikan program Diari Akademi Fantasia 2015, tidak mahu terburu-buru menerima sebarang tawaran.

"Alhamdulillah, saya ada terima tawaran tetapi masih dalam perbincangan.

"Saya juga ada memenuhi undangan mengacara majlis tertutup. Kehidupan saya cukup membahagiakan. Saya ada masa untuk bersama anak dan suami," katanya.

Berita Harian X