Selasa, 8 March 2016 | 7:48am

Gigit jari bila novel jadi filem dan drama

TERANIAYA atau buta undang-undang? Itu adalah persoalan utama yang perlu diselidiki dalam isu royalti penulis karya asal yang hanya menggigit jari apabila menonton karya adaptasi mereka di televisyen atau layar perak.

Apakah ia berpunca faktor kurang ilmu dalam perundangan sehingga mudah terjebak dengan perjanjian penerbitan berat sebelah atau sememangnya wujud penerbit buku 'lintah darat' yang mengaut keuntungan paling maksimum?

Kebiasaannya, perbalahan mengenai isu royalti hanya akan timbul apabila filem atau drama yang ditayangkan mendapat sambutan luar biasa penonton hingga pecah panggung sehingga penerbit filem mengaut keuntungan jutaan ringgit.

Justeru, apakah 'maruah' sesebuah karya itu hanya dipertahankan apabila membabitkan soal wang ringgit, yang sekali gus menunjukkan mentaliti pengarang masih terkurung dalam mengetahui cara terbaik untuk melindungi hak mereka?

Bagi pengarang yang juga penulis skrip drama televisyen, Mohd Fairuz Mohd Padoli atau lebih dikenali sebagai MF Kencana, royalti yang diberikan kepada pengarang asal agak kurang setimpal, walaupun mereka tidak terbabit sebagai penulis skrip dalam proses adaptasi berkenaan.


PENULIS skrip, Mohd Fairuz Mohd Padoli atau dikenali sebagai MF Kencana. - Foto Aziah Azmee

Naikkan royalti, penghargaan setimpal

"Walaupun hanya 10 peratus daripada kandungan novel asal diambil untuk adaptasi sesebuah drama atau filem, idea asal pengarang perlu diberikan penghargaan yang setimpal dengan menaikkan bayaran royalti.

"Umpamanya karya Sekar Ayu Asmara bertajuk Pintu Terlarang diangkat ke layar perak di Indonesia yang hanya lima peratus daripada kandungannya diambil untuk dijadikan plot cerita.

"Justeru, saya berharap bayaran royalti kepada penulis dinaikkan sekurang-kurangnya 20 peratus kerana ia agak memadai dengan keringat yang dikeluarkan untuk menulis terutama novel yang isinya tebal," katanya kepada Sastera BH dalam satu pertemuan di Gombak, baru-baru ini.

Tambah MF Kencana yang juga mantan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2006, penulis juga sepatutnya mengembangkan bakat kepengarangan kepada cabang yang lain terutama penulisan skrip adaptasi novel ke drama dan filem.

"Di negara ini, amat jarang penulis novel yang boleh bertindak sebagai penulis skrip bagi karya mereka sendiri apabila diangkat untuk adaptasi.

Penulis skrip lebih lumayan

"Ia amat merugikan kerana mereka bukan saja dapat menentukan jalan cerita tidak tersasar, bahkan pendapatan penulis skrip juga lebih lumayan daripada royalti penulis asal apabila karyanya diangkat ke layar perak atau drama.

"Sebagai contoh, novelis seperti Sharifah Abu Salem dan Ahadiat Akashah antara pengarang yang menulis sendiri skrip daripada karya asal mereka, sekali gus mendapat kepuasan daripada pengekalan cerita asal dan habuan diterima lebih besar daripada sekadar mengharapkan royalti daripada penerbit yang tidak seberapa," katanya.


PENULIS novel dan cerpen, Nisah Haron. - Foto Hazreen Mohamad

Sementara itu, penulis yang juga bekas peguam, Nisah Haron, menyifatkan tahap sedar pengarang dalam melindungi hak mereka sendiri yang masih rendah, sekali gus meminta hal itu diberikan perhatian sewajarnya.

"Asas penerbitan yang perlu diketahui oleh penulis ialah hak sehingga permasalahan utama timbul kerana mereka tidak tahu melindunginya dengan betul.

"Ada yang melihat pemindahan ke filem atau drama saja tetapi ia sebenarnya merangkumi konteks yang lebih luas, iaitu terjemahan ke bahasa lain dan hak untuk pementasan teater serta animasi sehinggalah kepada kebenaran kandungan karya dicetak dalam bentuk lain atau dijadikan barangan cenderamata.

"Disebabkan kurang pengetahuan dalam undang-undang, ada penulis yang hanya menandatangani perjanjian penerbitan tanpa memahami kandungannya terutama bahagian penting seperti hak bagi penterjemahan," katanya yang ditemui Sastera BH di kediamannya di Seremban.

Kos peguam tinggi

Tambahnya, untuk mengupah peguam bagi tujuan khidmat nasihat sememangnya agak sukar dilakukan oleh penulis kerana ia membabitkan kos yang tinggi, tetapi mereka perlu mengambil inisiatif sendiri dengan merujuk penerbit buku dan membuat rundingan secara 'menang-menang' sebelum menandatangani sebarang kontrak perjanjian.

"Ada penulis yang menyalahkan syarikat penerbitan buku apabila jumlah royalti diterima tidak memihak kepada mereka sedangkan hal sedemikian tidak akan berlaku jika mereka mengambil inisiatif sendiri sebelum kontrak ditandatangani.

"Saya sarankan persatuan penulis melantik penasihat undang-undang bagi membela nasib penulis, selain memanfaatkan bahagian hak cipta yang biasanya dimiliki oleh syarikat penerbitan buku besar untuk mendapatkan khidmat rundingan.

"Penulis tidak akan mampu bergerak secara perseorangan, justeru amat diharapkan penerbit buku dapat memainkan peranan dengan memberikan bantuan sewajarnya dalam isu berkaitan penyelewengan karya," katanya.

Berita Harian X