Isnin, 7 March 2016 | 12:57pm

Sabah gariskan dua keutamaan hadapi cabaran 2016

MUSA (dua dari kiri) diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman (kiri) ketika tiba di Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Sabah Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan, di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah
MUSA (dua dari kiri) diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman (kiri) ketika tiba di Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Sabah Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan, di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melaksanakan dua pendekatan penting sebagai keutamaan bagi mengharungi cabaran akibat kelembapan ekonomi global pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata pendekatan itu ialah mengoptimumkan perbelanjaan mengikut keutamaan dan menumpukan kaedah kreatif serta inovatif bagi meningkatkan produktiviti.

Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, keutamaan akan diberikan terhadap bidang yang boleh mendatangkan hasil atau kesan besar terhadap setiap ringgit dibelanjakan, tanpa memotong atau mengurangkan perbelanjaan sedia ada.

Katanya, produktiviti boleh ditingkatkan tanpa kerja keras atau menambah waktu bekerja dengan menggunakan minda bagi mencari penyelesaian secara kreatif dan inovatif.

"Dengan mengambil kira hasil negeri berkurangan akibat kejatuhan harga minyak dan komoditi utama, sektor awam perlu berfikir di luar kotak kebiasaan dan menjalankan operasi perkhidmatan secara kreatif iaitu mencari penyelesaian baharu demi menjimatkan masa dan kos operasi.

"Setiap perbelanjaan dikeluarkan perlu menekankan impak tinggi atau nilai untuk wang dibelanjakan bagi mengelak pembaziran dan ketirisan," katanya ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Perdana Ketua Menteri Sabah Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin dan Datuk Raymond Tan Shu Kiah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Borhan Dollah.

Berita Harian X