Ahad, 6 March 2016 | 12:25pm

Forest City diberi status kawasan bebas cukai - PM


PROJEK Forest City yang dibina di empat pulau buatan manusia seluas 1,400 hektar. - Foto Mohd Azren Jamaludin

GELANG PATAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan empat insentif bagi memajukan dan menarik pelaburan asing di Forest City, perbandaran moden di atas pulau buatan di Iskandar Malaysia.

Dalam ucapannya pada majlis perasmian projek itu, Perdana Menteri mengumumkan status Forest City sebagai zon bebas cukai keempat di negara ini.

Turut diumumkan pemberian insentif cukai kepada pemaju dan pengurus pemaju hijau serta galakan cukai korporat kepada sektor Pelancongan dan Mesyuarat Insentif Konvensyen dan Pameran (MICE), pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Najib turut mengumumkan tiada kekangan syarat ekuiti kepada syarikat asing di Forest City.

"Insentif itu bagi merangsang kemasukan pelaburan global, sekali gus meletakkan Forest City sebagai pembangunan bertaraf antarabangsa," katanya di sini, sebentar tadi.


SULTAN Ibrahim Iskandar diiringi Datuk Seri Najib Razak hadir ke Majlis Perasmian Projek Pembangunan Forest City di Tanjung Kupang, Gelang Patah, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Majlis perasmian disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Projek Forest City yang dibina di empat pulau buatan manusia seluas 1,400 hektar itu bakal mewujudkan lebih 220,000 pekerjaan kepada penduduk tempatan menjelang tahun 2035.

Ia dimajukan Country Garden Holdings Co Ltd, yang berpangkalan di Guangdong, China dan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd dengan pelaburan lebih RM450 bilion dalam tempoh 20 tahun.


MODEL Projek Pembangunan Forest City di Tanjung Kupang, Gelang Patah. - Foto Mohd Azren Jamaludin

PROJEK Forest City bakal mewujudkan lebih 220,000 pekerjaan kepada penduduk tempatan menjelang tahun 2035. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Berita Harian X