Sabtu, 5 March 2016 | 12:03am
PERCUTIAN yang menjanjikan ketenangan dengan pengalaman berbeza kepada semua pengunjungnya. - Foto Rosdan Wahid
TADOM Hill Resort menggalakkan pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi. - Foto Rosdan Wahid
GELAGAT pengunjung yang melompat dari atas pokok, bergayut di buaian buluh serta membuat aksi akrobatik dari atas pelantar buluh terus ke dalam tasik. - Foto Rosdan Wahid
DALAM sehari, penginapan di Tadom Hill Resort boleh memuatkan 120 orang. - Foto Rosdan Wahid
DUA pondok buluh yang setiap satunya boleh memuatkan 12 orang dalam satu masa. - Foto Rosdan Wahid
SETIAP pengunjung diwajibkan memakai jaket keselamatan, sekali gus membolehkan mereka terapung sambil bebas berenang ke sana sini sekitar tasik. - Foto Rosdan Wahid
PONDOK buluh yang unik kerana tidak berdinding antara setiap ruang tidurnya. - Foto Rosdan Wahid
PENGINAPAN umpama hotel tetapi masih mengekalkan konsep utama iaitu binaan daripada buluh. - Foto Rosdan Wahid

Buluh dan tasik jadi tarikan Tadom Hill


BANTING: Berkonsepkan buluh dan alam semula jadi, Tadom Hill Resort di sini, boleh dianggap lokasi percutian dan riadah yang unik serta menjanjikan ketenangan dengan pengalaman berbeza kepada semua pengunjungnya.

Berbeza sekali dengan kebanyakan lokasi peranginan lain, Tadom Hill mengajak pengunjungnya untuk lebih banyak menghabiskan masa bersama alam, apabila menampilkan konsep penginapan terbuka.

Sepanjang perjalanan memasuki pusat terbabit, pengunjung disajikan dengan pemandangan pelbagai binaan daripada buluh, bermula dengan pondok pengawal, kaunter pendaftaran, kantin, menara tinjau, penginapan, malah tandasnya juga dibuat menggunakan buluh.

Tidak keterlaluan jika dikatakan penggunaan buluh sebagai bahan utama dalam setiap binaan di Tadom Hill itulah yang menjadikan lokasi terbabit begitu mengagumkan dan menimbulkan perasaan teruja dalam kalangan pengunjungnya.

Di Tadom Hill, konsep penginapan terbuka di mana pemiliknya menyediakan 16 unit khemah yang setiap satunya boleh menempatkan dua orang, lengkap dengan pelapik dan bantal.


BARU lima bulan beroperasi, sambutan yang diterima begitu menggalakkan apabila menerima kunjungan sehingga lebih 3,000 orang setiap minggu. - Foto Rosdan Wahid

PENGARAH eksekutif Tadom Hill Resort, Lucas Loo Ze Xian. - Foto Rosdan Wahid

Pengarah eksekutifnya, Lucas Loo Ze Xian, berkata selain khemah, Tadom Hill turut menyediakan 14 lagi khemah dengan kemudahan serupa tetapi terletak berdekatan tasik sekali gus menjanjikan pemandangan menarik serta mendamaikan.

"Di sini, kami menggalakkan pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi. Pelbagai aktiviti menarik yang dekat dengan alam di sediakan bagi mengajak pengunjung untuk lebih banyak menghabiskan waktu mereka di luar.

"Berikutan itu, kami memilih konsep penginapan ini, tidak seperti lokasi lain yang berkonsepkan chalet. Namun, ada juga tiga chalet bagi mereka yang mahukan penginapan umpama hotel tetapi masih mengekalkan konsep utama iaitu binaan daripada buluh.

"Tiga unit Gendui Chalet dengan kemudahan katil untuk dua orang, selain ruang lantai yang luas untuk menempatkan dua tilam lagi cukup selesa bagi mereka yang mahu menginap dalam bilik. Tinggal dalam chalet sebegini terasa seperti berada dalam perkampungan orang asli, iaitu pemilik tanah di Tadom Hill ini," katanya.

Dua lagi kemudahan penginapan Tadom Hill juga kelihatan begitu kreatif iaitu dua unit Hammock Spheres iaitu satu khemah besar daripada buluh, terbuka tanpa dinding dan dilengkapi 10 buaian, menjanjikan pengalaman rehat berkumpulan yang santai.


TADOM Hill Resort boleh dianggap lokasi percutian dan riadah yang unik. - Foto Rosdan Wahid

TADOM Hill Resort berkonsepkan buluh dan alam semula jadi. - Foto Rosdan Wahid

Dua pondok buluh yang setiap satunya boleh memuatkan 12 orang dalam satu masa juga unik kerana tidak berdinding antara setiap ruang tidurnya dengan hanya dipisahkan tabir antaranya, namun lengkap dengan almari kecil menyimpan barang, kipas dan soket elektrik untuk setiap orang.

Pengarah Tadom Hill Resort, Datuk Lai Yeng Fock, berkata meskipun baru lima bulan beroperasi, namun sambutannya diterima begitu menggalakkan apabila mereka kini menerima kunjungan sehingga lebih 3,000 orang setiap minggu.

"Dalam sehari, penginapan di sini boleh memuatkan 120 orang tetapi beberapa kemudahan baru sedang dibina untuk membolehkan lebih ramai pengunjung dapat bermalam di sini.

"Kadar sewaan untuk penginapan di sini adalah serendah RM60 untuk satu khemah, RM45 seorang untuk menginap di pondok dan Hammock Spheres, manakala RM200 untuk sebuah calet.

"Namun, ada juga yang datang ke sini untuk melakukan aktiviti luar seperti berenang di tasik, bermain rakit dan bersantai sekitar kawasan ini. Ada pelbagai aktiviti turut diadakan pada waktu malam," katanya.

Sepanjang berada di Tadom Hill, wartawan melihat tidak ramai yang berlegar-legar di kawasan penginapan kerana masa mereka lebih banyak dihabiskan di kawasan tasik yang menjadi lokasi aktiviti utama di situ.


PENGUNJUNG Tadom Hill Resort menikmati keindahan tasik yang dikatakan sedalam 18 meter. - Foto Rosdan Wahid

PENGUNJUNG lebih banyak menghabiskan masa bersama alam khususnya kawasan tasik. - Foto Rosdan Wahid

Seronok melihat gelagat pengunjung yang melompat dari atas pokok, bergayut di buaian buluh serta membuat aksi akrobatik dari atas pelantar buluh terus ke dalam tasik yang dikatakan sedalam 18 meter.

Setiap seorang pengunjung diwajibkan memakai jaket keselamatan, sekali gus membolehkan mereka terapung sambil bebas berenang ke sana sini sekitar tasik yang luas itu.

Ada juga pengunjung yang begitu seronok berakit di seluruh tasik dan apa yang ketara kebanyakan mereka datang secara berkumpulan.

Bagi pengunjung harian dan tidak bermalam, kadar bayaran untuk masuk ke situ ialah RM18 bagi individu, RM15 seorang jika datang dalam kumpulan lima orang dan RM12 seorang jika kumpulan melebihi 10 orang.

Berita Harian X