Jumaat, 4 March 2016 | 6:44am

Kita mesti bersedia masuk alam 'negara tua'

APABILA Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim mengatakan Malaysia bakal jadi 'negara tua' menjelang 2030, beliau sebenarnya bercakap mengenai trend di kebanyakan negara maju hari ini.

Peningkatan bilangan orang tua antara 10 hingga 15 peratus sepanjang tempoh 14 tahun akan datang di negara ini, sama seperti ramalan 15 tahun lalu mengenai penduduk Amerika Syarikat (AS).

Beberapa hari lalu, heboh mengenai cadangan Majlis Profesor Negara (MPN) supaya tempoh usia persaraan profesor dinaikkan daripada 60 tahun sekarang kepada 65 tahun. Bagi yang menganggap cadangan itu tidak wajar, ia menunjukkan mereka belum sedia memasuki alam 'negara tua'.

Mereka beri alasan berasaskan perkiraan matematik berhubung kos yang terpaksa dibayar kerajaan jika mengekalkan perkhidmatan profesor yang sepatutnya bersara selepas mencapai usia 60 tahun. Mereka tidak nampak bahawa khidmat dan idea golongan ini masih diperlukan untuk negara. Golongan ini mencadangkan supaya peluang diberikan kepada golongan muda bagi menggantikan khidmat profesor yang kebanyakannya sudah berusia.

Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa ini adalah putik-putik cabaran bahawa Malaysia sudah pun mula memasuki alam 'negara tua' yang mana golongan diperlukan untuk membina bangsa dan negara sudah berada pada usia agak lanjut tetapi masih mampu berkhidmat. Hari ini, jumlah penduduk berusia 60 tahun ke atas di negara ini mencecah lapan peratus dan dijangka terus meningkat.

Sesebuah negara ditakrif sebagai 'negara tua' apabila 10 atau 15 peratus daripada jumlah penduduknya berusia 60 tahun ke atas. Isu melanjutkan tempoh persaraan perkhidmatan tertentu bukan hanya berlaku di Malaysia, malah ia menjadi topik perbincangan di negara maju. Mereka mengakui ada jawatan memerlukan kematangan dan kebijaksanaan.

Penyediaan pelapis perlukan masa

Tempoh menyediakan pelapis memerlukan masa panjang kerana ia berhubung kait dengan soal pengalaman. Lebih lama seseorang itu memegang sesuatu jawatan penting, adalah lebih baik berbanding penggantinya yang mungkin masih muda dan sedang mengumpul pengalaman. Pengalaman bagi mereka yang sudah lama berkhidmat menjadikannya lebih matang, rasional, disegani dan dihormati, lebih berwibawa dan ciri  lain yang perlu ada bagi seseorang.

Hujah lebih diyakini

Begitu juga dengan khidmat guru agama yang mengajar di merata tempat. Walaupun ramai sudah lanjut usia, tetap gigih dengan tugas mereka. Adalah rugi jika mereka tidak dibenar mengajar agama di masjid, surau atau pada majlis tertentu disebabkan umur mereka melebihi 65 tahun. Hakikatnya, lebih berusia seseorang guru agama itu, lebih matang mengeluarkan hujah dan lebih diyakini.

Bagi yang masih muda, mereka mempunyai banyak masa untuk belajar daripada yang lebih tua. Pada 2001, Peter Drucker menulis satu rencana dalam keluaran khas majalah Economist bertajuk The Next Society. Menurutnya: "in the developed countries, the dominant factor in the next society will be something to which most people are only just beginning to pay attention; the rapid growth in the older population and the rapid shrinking of the younger generation. (Di negara maju, faktor dominan masyarakat akan datang adalah mengenai perkara yang kebanyakan orang baru mula memberi perhatian; pertumbuhan pesat populasi golongan tua dan penurunan mendadak generasi muda.

Ketika itu beliau mengatakan bahawa dalam tempoh 25 tahun lagi, manusia akan terus bekerja sehingga pertengahan usia mereka mencecah 70-an, jika kesihatan mengizinkan. Hari ini, selepas 15 tahun, apa yang dinyatakannya itu sudah berlaku di AS. Secara perbandingan, pada 1900, hanya seorang daripada daripada 25 penduduk AS mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas. Menjelang 1950, bilangan orang tua meningkat kepada seorang daripada 12 rakyat negara itu berumur sedemikian.

Pada 2000, bilangan golongan tua meningkat lagi kepada seorang daripada lapan rakyat AS dan menjelang 2030, bilangan orang tua dijangka meningkat kepada seorang daripada lima warga negara itu. Drucker meramalkan pada 2030, bila pelajar kolej (ketika rencana itu ditulis) berusia kira-kira 50-an, akan berlaku lebih ramai bilangan datuk dan nenek daripada cucu.

Bagi kedudukan warga tua AS pula, pada 2000, ada 4.3 juta penduduk berusia 85 tahun ke atas membabitkan 12 peratus rakyat yang dianggap tua. Menjelang 2050, bilangan itu dijangka meningkat kepada 19 juta atau 23 peratus. Trend ini akan berlaku di negara lain termasuk Malaysia.

Berita Harian X