
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini menghadiri Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.
Kedua-dua pemimpin negara itu tiba kira-kira jam 10.15 pagi dan disambut Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel dan Timbalannya, Datuk Seri Dr S Subramaniam serta kepemimpinan tertinggi MIC.
Najib yang memakai kurta berwarna krim dan Muhyiddin, berbaju batik merah, meluangkan masa hampir sejam di majlis berkenaan.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.
Selesai kunjungan itu, Najib dan Muhyiddin kemudiannya menghadiri satu lagi rumah terbuka Deepavali di High Convention Centre, Jalan Sentul, di sini anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI).
Kehadiran kedua-duanya disambut Presiden MAICCI, Tan Sri K Eswaran.
Turut hadir di majlis itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan serta pimpinan MAICCI.
Eswaran yang ditemui media selepas itu, menzahirkan rasa terima kasih atas kunjungan dua pemimpin utama negara dan menyifatkan sambutan Deepavali yang disambut hari ini sebagai festival untuk semua kaum.
Beliau turut mengajak rakyat di negara ini untuk berkongsi keharmonian seperti festival dan perayaan secara bersama serta menolak sebarang anasir yang boleh mengganggu gugat perpaduan.