Selasa, 1 March 2016 | 6:20pm

Idris sertai 'blind futsal'


Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) melakukan sepakan ke arah gawang sambil mata ditutup pada perlawanan 'blind futsal', di Kolej Zaa'ba Ketujuh, UM, petang tadi. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, petang ini menunjukkan ketangkasan bermain futsal sambil mata ditutup atau 'blind futsal', di Kolej Zaa'ba Ketujuh, Universiti Malaya (UM).

Ia adalah sebahagian daripada program sokongan dan turun padang disertainya bagi melihat sendiri kemudahan sukan bagi orang kelainan upaya (OKU) terutama di universiti terbabit.

Dalam perlawanan persahabatan itu, Idris menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti. Pasukan Idris menang dengan jaringan 2-0.

Hadir sama, Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin.

Program 'Sehari Sukan Bersama Menteri Pendidikan Tinggi' itu adalah anjuran Unit Pengurusan Siswa OKU UM, dengan kerjasama Alumni UM dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UM.

Program bertujuan memastikan pelajar OKU bersama mahasiswa lain dalam melakukan aktiviti riadah berdasarkan keupayaan masing-masing tanpa rasa rendah diri.

Berita Harian X