Selasa, 1 March 2016 | 1:12pm

TV3 dapat hak penyiaran Piala Sultan Selangor


KETUA Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Kamal Khalid (kiri) bersalaman dengan pengerusi dan pengurus pasukan Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar pada majlis menandatangani perjanjian TV3 sebagai penyiar rasmi perlawanan Piala Sultan Selangor 2016 hingga 2018 di Balai Berita, Bangsar, sebentar tadi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (Media Prima) menerusi saluran TV3 sekali lagi mendapat hak penyiaran rasmi perlawanan Piala Sultan Selangor bagi tempoh tiga tahun dari 2016 hingga 2018.

Hak penyiaran itu adalah sambungan daripada kontrak sebelum ini sejak 2013 hingga 2015 dan bagi tahun ini, perlawanan berprestij itu akan berlangsung pada 7 Mei depan di Stadium Shah Alam.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Kamal Khalid berkata pihaknya sangat berbesar hati dan berterima kasih kepada pengurusan Piala Sultan Selangor kerana terus memberi kepercayaan kepada Media Prima sebagai penyiar rasmi perlawanan berkenaan.

Kamal berkata, Media Prima akan melakukan beberapa pembaharuan termasuk menyiarkan perlawanan membabitkan pasukan veteran Selangor dan Singapura di portal video Tonton.

"Jika sebelum ini perlawanan pasukan veteran tidak mendapat liputan, namun hasil kerjasama dengan portal video terbabit, pihak kami akan menyiarkan perlawanan itu secara langsung di Tonton.

"Kami di Media Prima akan berusaha memberi liputan dan publisiti terbaik bagi perlawanan Piala Sultan Selangor yang bukan sahaja mengimbau nostalgia tetapi turut mendapat sokongan daripada ramai peminat bola sepak dua negara.

"Kami sudah menyiarkan perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Barcelona pada tahun 2013, namun Piala Sultan Selangor dilihat mendapat lebih sambutan dengan tiga kali ganda penonton," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian TV3 sebagai penyiar rasmi perlawanan Piala Sultan Selangor 2016 hingga 2018 di Balai Berita, Bangsar, sebentar tadi.

Pada majlis itu, pengurusan Piala Sultan Selangor diwakili pengerusi dan pengurus pasukannya, Tan Sri Abd Karim Munisar.

Dalam perkembangan sama, Abd Karim percaya betapa Media Prima mampu memberi liputan terbaik perlawanan itu sekali gus mendapat sambutan daripada seluruh peminat bola sepak Malaysia dan Singapura.

"Kita menjangkakan sambutan tahun ini lebih hebat kerana peminat pasti merindui aksi kedua-dua pasukan terutama selepas ia terpaksa dibatalkan pada tahun lalu berikutan cuaca jerebu," katanya.

Berita Harian X