Selasa, 1 March 2016 | 11:10am

Saham Asia naik sejajar peningkatan harga minyak

TOKYO: Saham Asia meningkat sedikit awal pagi ini, dengan sentimen dirangsang langkah pelonggaran monetari China dan peningkatan harga minyak.

Namun keadaan kukuh itu dihadkan oleh perangkaan perlahan dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, yang mengekalkan kebimbangan terhadap momentum pertumbuhan global.

Indeks meluas saham Asia Pasifik di luar Jepun, MSCI naik kira-kira 0.2 peratus, Indeks Nikkei Jepun jatuh 0.5 peratus pada awal dagangan berikutan pengukuhan yen.

Bank of China (PBOC) berkata dalam laman web semalam, bahawa ia mengurangkan nisbah keperluan rizab (RRR) atau jumlah tunai yang perlu dipegang bank sebagai rizab, sebanyak 50 mata asas.

"Kesan umum daripada pengurangan RRR adalah dipersoalkan tetapi kerajaan China tidak akan melaksanakan langkah itu jika mereka tidak bimbang mengenai ekonomi," kata Pengarah Urusan BK Asset Management, Kathy Lien, dalam nota penyelidikannya.

"Perangkaan China sangat sukar untuk dibantu tetapi ia memberi kita sebab untuk percaya bahawa aktiviti sektor perkhidmatan dan pengilangan perlahan pada bulan Februari," katanya.

Langkah China, digabungkan dengan kejatuhan pengeluaran minyak dari OPEC dan Amerika Syarikat (AS), dan janji Arab Saudi untuk mengehadkan ketidaktentuan pasaran, meningkatkan harga pasaran hadapan minyak mentah.

Kontrak hadapan Brent meningkat 3.4 peratus kepada AS$36.64 setong, sementara kontrak hadapan minyak mentah AS naik kira-kira 0.1 peratus kepada AS$33.78 selepas melonjak tiga peratus semalaman.

Wall Street tidak menghiraukan harga minyak yang tinggi dengan ditutup rendah, sementara indeks saham global, MSCI terus mencatatkan kejatuhan untuk empat bulan berturut-turut.

Perangkaan AS yang lemah menimbulkan kebimbangan semula mengenai pengukuhan ekonomi itu. Kontrak untuk membeli rumah AS jatuh ke paras terendahnya dalam setahun pada Januari, sementara Indeks Pembelian Pengurus Chicago, petunjuk utama bagi ekonomi AS, menguncup 47.6 pada Februari.

Perangkaan dari Eropah yang dikeluarkan semalam menunjukkan kadar tahunan inflasi zon euro jatuh semula ke kawasan negatif bulan lalu, menambahkan lagi tekanan kepada Bank Pusat Eropah (ECB) untuk melonggarkan dasar monetari bulan ini.

Semua pungutan suara 18 peniaga pasaran wang euro yang dilaksanakan Reuters menjangkakan ECB mengurangkan kadar deposit lagi pada mesyuaratnya yang akan diadakan pada 10 Mac ini, dan mereka berkata, malah ECB mungkin mengubahnya dengan meningkatkan pembelian aset bulanan mereka.

Jangkaan itu memberi kesan kepada euro, yang naik 0.1 peratus kepada AS$1.0885 tetapi kekal menghampiri paras rendah dalam sebulan pada paras AS$1.0859 semalam.

Yen jatuh 0.1 peratus kepada 122.37, tidak berapa jauh dari paras 122.085, paras rendah sejak April 2013.

Dolar berada pada paras 112.47 yen, jatuh kira-kira 0.2 peratus.

Dolar Australia kukuh berbanding dolar AS kepada AS$0.7138. - Reuters

Berita Harian X