Sabtu, 27 Februari 2016 | 6:32am

Toleransi acuan hidup harmoni


Kestabilan negara dan keharmonian masyarakat dapat dipupuk sekiranya setiap kaum dapat menghormati antara satu sama lain. - Gambar hiasan

Alhamdulillah kita ditakdirkan oleh Allah SWT untuk hidup dalam sebuah negara yang aman damai, dilimpahi rezeki melimpah ruah serta penuh keamanan. Semenjak tarikh kemerdekaan sehingga hari ini secara umumnya kita berjaya mempertahankan kerukunan hidup bermasyarakat dan bernegara.

Sangat unik negara ini yang rakyatnya berbilang agama, kaum, budaya dan kepercayaan. Sedikit insiden yang berlaku boleh dianggap terpencil dan tidak mewakili kehendak majoriti. Ramuan utama keenakan hidup bermasyarakat ialah setiap pihak menghormati undang-undang dan tidak melangkau sempadan ditetapkan.

Dalam sebuah negara yang sifatnya berbilang-bilang agama serta bangsa, sudah tentu setiap bangsa dan agama mempunyai kehendak masing-masing yang jika tidak dikawal atau diletakkan sempadan, maka sudah tentu akan berlaku pertembungan kehendak atau tuntutan sesama penduduk yang berbeza.

Maka dalam situasi ini dan demi mengelakkan pertembungan kepentingan terus berlaku, amat penting perlembagaan negara terus dipelihara dan dihormati. Mempertahankan hidup penuh keharmonian ini perlu disebut dan diadakan kempen secara berterusan supaya sentiasa segar dalam minda rakyat negara ini.

Galakan supaya umat Islam hidup harmoni dengan penganut agama lain tidak pernah gagal dipromosikan sepanjang masa, sehingga dalam majlis keagamaan seperti sambutan Maulidur Rasul ada kalangan penganut agama tidak mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW tetap diberi pengiktirafan tokoh tertentu.

Hatta dalam khutbah Jumaat, kempen menjaga keharmonian sesama penduduk negara ini tidak ketinggalan dijadikan sebagai peringatan untuk sekalian hadirin.

Ayat al-Quran yang menjadi dalil dan sandaran ialah firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil." (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Peka sensitiviti kaum lain

Atas sifat kepatuhan umat Islam kepada agama masih menebal, maka keharmonian menjaga sensitiviti penganut agama lain masih dijaga dan tindakan provokasi segelintir pihak terhadap Islam sangat cermat disantuni.

Namun, harapan kita supaya kesungguhan umat Islam menghormati penganut agama lain dibalas juga dengan kesungguhan penganut agama selain Islam. Pada pihak umat Islam, segenap medan digunakan, termasuk mimbar masjid untuk menyampaikan mesej keamanan.

Tidak cukup dengan peruntukan perlembagaan yang ada, pesanan ini disulami dalil al-Quran dan al-Sunah.

Kita sebagai umat Islam sangat mengharapkan penganut agama selain Islam juga secara serius berkempen supaya kerukunan hidup bernegara dapat dipelihara.

Mereka boleh mengulang-ulang dalam ucapan pemimpin mereka supaya Islam dihormati sebagai agama Persekutuan. Sentiasa menjaga sensitiviti orang Islam, menjauhi daripada melakukan provokasi terhadap umat Islam.

Kita sangat berharap mesej keamanan ini diucapkan di tempat ibadat mereka. Apabila berlaku tindakan provokasi kepada Islam dan umat Islam, maka pemimpin mereka perlu menegaskan bahawa perbuatan berkenaan tidak mewakili pendirian penganut agama berkenaan.

Nasihatkan mereka supaya menghormati kepercayaan hak penduduk yang mewakili majoriti rakyat negara ini iaitu umat Islam.

Kita percaya tindakan mempromosi keamanan ini tidak akan berjaya jika tidak diusahakan oleh kedua-dua pihak yang berkepentingan, ibarat bertepuk sebelah tangan. Ia juga tidak akan berjaya jika dilakukan setakat melepaskan batok di tangga.

Justeru, usaha bersungguh pihak Islam wajar disambut untuk mengajak masyarakat memahami hak toleransi mengikut acuan tempatan yang ada latar belakang sejarah tersendiri berbanding toleransi mengikut acuan standard barat mahupun antarabangsa.

Impian kita ialah suasana yang saling mengukuhkan semangat menghormati sesama warganegara dan kempennya berkumandang dari atas mimbar masjid yang bersungguh mengajak masyarakat bukan Islam menghormati beberapa peruntukan undang-undang perlembagaan negara.

Antaranya perkara 3(1) berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan, 11(4) (larangan penyebaran diayah agama lain kepada orang Islam), 12(2) berkaitan hak institusi Islam untuk mendapat bantuan kerajaan , 121(1A) berkaitan kuasa Mahkamamah Syariah dan lain-lain peruntukan yang jika dihormati akan memanjangkan nyawa keharmonian di negara ini.

Penulis ialah Timbalan Mufti Perak

Berita Harian X