Khamis, 25 Februari 2016 | 10:15pm

S P Setia optimis jualan RM4b tahun ini


KHOR (kanan) pada taklimat media mengumumkan prestasi kewangan syarikat di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: S P Setia Bhd, mengekalkan sasaran jualan keseluruhan sebanyak RM4 bilion tahun ini walaupun pasaran hartanah tempatan terus berdepan persekitaran mencabar.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Khor Chap Jen, berkata syarikat optimis dapat mencapai sasaran itu bersandarkan pelancaran kira-kira 8,000 unit kediaman baharu bernilai RM4.7 bilion membabitkan pelbagai komponen dari rumah mampu milik merangkumi sebanyak 30 peratus hingga unit komersial.

Katanya, syarikat yakin dengan permintaan hartanah yang kekal positif terutama bagi kediaman jenis mampu milik dan rumah bertanah berharga bawah RM1 juta.

"Persekitaran pasaran hartanah kekal mencabar tahun ini dengan separuh pertama agak sederhana tetapi kami yakin pada separuh kedua ia kembali melonjak.

"Sejumlah 8,000 unit baharu ini membabitkan pembangunan projek baharu iaitu Setia Eco Hills 2 dan Setia Eco Templer serta beberapa fasa baharu projek sedia ada termasuk Setia Eco Glades dan KL Eco City.

"Berdasarkan sasaran jualan itu, S P Setia menjangkakan ia disumbangkan 80 peratus dari pasaran tempatan dan bakinya dari luar negara iaitu hartanah di Australia," katanya pada taklimat media mengumumkan prestasi kewangan syarikat di Kuala Lumpur, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Eksekutif S P Setia, Datuk Koe Peng Kang; serta Pemangku Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi S P Setia, Datuk Wong Tuck Wai.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, S P Setia merekodkan jualan keseluruhan RM4.3 bilion untuk tempoh 14 bulan selepas menukar tahun kewangan daripada 31 Oktober.

Ia merangkumi 67 peratus disumbangkan oleh pasaran tempatan dan bakinya pasaran luar negara termasuk RM1.2 bilion bagi projek Battersea Power Station, London.

Berita Harian X