Khamis, 25 Februari 2016 | 12:00am
KAREN Edwards, berdama keluarganya.
DI sebuah kuil Buddha di Hongkong.

Keliling dunia bersama bayi


EDWARDS mengendong Esmé di Lapangan Terbang Antabangsa Langkawi, ketika melancong ke pulau berkenaan, baru-baru ini.

BAGI kebanyakan ibu yang baru melahirkan anak, tempoh cuti bersalin yang diperuntukkan pastinya mahu digunakan sebaik mungkin untuk memastikan bayi mereka mendapat kasih sayang dan penjagaan secukupnya, sebelum kembali bertugas.

Tambahan pula, pada peringkat awal ini bayi amat memerlukan perhatian dan keselesaan untuk menjamin tumbesaran yang sihat dan seimbang dalam persekitaran yang bersesuaian.

Berbeza pula dengan Karen Edwards, 31, apabila beliau bersama pasangannya, Shaun Bayes, memilih untuk mengelilingi dunia bersama anak pertama mereka, Esmé kira-kira 10 minggu selepas kelahiran bayinya itu.

Disebabkan minatnya kepada aktiviti melancong, wanita yang bekerja sebagai jururawat di London ini memilih menghabiskan cuti bersalin yang diperuntukkan itu dengan memenuhi impian awalnya untuk mengembara ke seberapa banyak negara sebaik saja menamatkan pengajian di universiti.


EDWARDS dan bayinya, Esmé ketika di Vietnam.

Cuti bersalin luar biasa

"Saya boleh katakan, tidak menghabiskan cuti bersalin seperti yang biasa dihabiskan ibu bekerja lain. Sebagai golongan yang baru menjadi ibu bapa, kami sudah mengembara banyak tempat bersama bayi kami dengan melalui laluan darat, perjalanan feri yang lama, penerbangan yang jauh dan dekat, perhentian, perkhemahan dan banyak lagi yang dirancang dalam beberapa bulan akan datang," tulis Edwards dalam blog yang menceritakan pengembaraannya itu.

Bagi kebanyakan wanita bekerja di United Kingdom mereka mendapat cuti bersalin biasa sehingga 26 minggu atau enam bulan tetapi layak untuk menyambung cuti berkenan sehingga 52 minggu atau setahun.

Edwards menyifatkan dirinya sebagai 'gilakan melancong' dan sebaik tamat belajar di universiti mengimpikan untuk melancong ke seberapa banyak negara yang boleh dilakukannya.

Bagaimanapun, apabila mendapati dirinya hamil, Edwards berazam untuk meneruskan impian awalnya itu.

Ketiga-tiga beranak itu menghabiskan masa mengelilingi dunia selama 10 bulan dan Edwards mengakui, keluarga beliau pada awalnya menyangkakan dia gila apabila merancang untuk meneruskan pengembaraan itu pada November 2014.


EDWARDS bersama bayinya bersedia menaiki kapal terbang.

ESMÉ yang sudah bersedia untuk melancong.

Tinggalkan London

Edwards yang dilahirkan di Ireland tetapi tinggal di London, berkata beliau menyimpan semua barangan miliknya dan menjual kereta selain menyewakan rumah mereka ketika Esmé yang kini berusia setahun lima bulan, belum pun berusia tiga bulan.

Sebaik saja meninggalkan London mereka melawat keluarganya di Ireland sebelum memulakan pengembaraan ke Singapura, Australia, Indonesia, Malaysia, Vietnam, Taiwan dan Hong Kong.

"Esmé amat baik dan disebabkan masih kecil mudah untuk membawanya dalam kendongan apabila kami bergerak ke sana sini.

"Kami tidak menyesal, sebaliknya Esmé mendapat pengalaman melihat tempat, pemandangan dan bau-bauan yang baharu ketika membesar dan ia sesuatu yang cukup menakjubkan.

"Cuma kadang kala saya berasakan Esmé tidak berpeluang untuk bersosial dengan kanak-kanak seusianya yang lain," katanya mengenai bayinya itu.

Bagaimanapun, Edwards mengakui, ada kalanya agak sukar baginya mengembara bersama seorang bayi terutama apabila mereka terpaksa berkongsi bilik sepanjang masa tidak seperti bayi lain yang mempunyai bilik tidur berasingan.

Katanya, selain itu anaknya itu juga tidak mempunyai barangan permainan yang mencukupi sepanjang masa ketika dia memerlukannya untuk bermain.


KETIKA percutian di Bali Indonesia (kiri) dan Langkawi (kanan).

Dalam satu tulisan di blog beliau bertajuk, "Bali bersama bayi", Edwards membicarakan ada banyak tempat yang baik untuk anak kecil.

"Ada banyak tempat di pantai yang cukup sesuai untuk membawa anak kecil. Ombak tidak terlalu kuat jadi sesuai untuk bayi mandi di situ.

"Ubud pula ada beratus-ratus spa dan tempat berurut dengan harga yang cukup berpatutan. Kami dapati, jika anda keluar waktu pagi pelanggan tidak terlalu ramai dan mereka begitu gembira menyambut kita," tulisnya.

Edwards, mengabadikan perjalanannya dalam blog dan juga Instagram dan mengirimkan gambar setiap tempat yang dilawatinya.


DI Rotoura, New Zealand.

Beri inspirasi

Selepas 10 bulan mengembara, beliau kembali ke London pada penghujung tahun lalu dan pasangan itu bersama Esmé yang kini sudah berusia 17 bulan memulakan perjalanan mereka semula untuk melancong ke Thailand, Kemboja dan New Zealand.

"Tujuan saya adalah memberi inspirasi kepada ibu bapa yang sukakan melancong bahawa 'pengembaraan anda tidak sepatutnya berakhir. Ia adalah bagaimana menyesuaikan si kecil anda dengan cara hidup anda," tulisnya dalam blog pengembaraannya itu.

Berita Harian X