Selasa, 23 Februari 2016 | 6:48am

Sijil halal untuk keseluruhan produk disajikan premis

S: Definisi halal dalam sektor penyediaan makanan serta jenis produk yang terbabit. Adakah ia hanya merujuk kepada penyediaan makanan tempatan dan bagaimana dengan produk import?

Othman: Halal berasal daripada kalimah Arab iaitu halla, yahillu, hillan, wahalalan yang bermaksud dibenarkan atau dibolehkan oleh hukum syarak. Dari konteks penyediaan makanan, ia adalah ramuan yang boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam yang tidak mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang dilarang atau yang tidak disembelih mengikut hukum syarak dan fatwa. Bagi produk import, hanya produk yang mendapat pensijilan halal dari badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia boleh dibawa masuk dan dipasarkan sebagai produk halal di pasaran Malaysia.

S: Prosedur memohon untuk mendapatkan sijil Halal JAKIM. Siapa yang layak memohon dan siapa yang layak menguruskan proses penyediaan?

Othman: Antara prosedur permohonan itu ialah semua permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia hendaklah dibuat secara online melalui sistem MYeHALAL di www.halal.gov.my; dokumen sokongan hendaklah diserahkan kepada JAKIM/JAIN setelah borang permohonan dihantar secara online dalam tempoh lima hari; bagi permohonan pembaharuan, hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya tiga bulan sebelum tamat tempoh Sijil Pengesahan Halal; permohonan tidak lengkap akan ditolak oleh sistem MYeHALAL secara automatik; permohonan yang lengkap akan menerima surat bayaran caj perkhidmatan pensijilan; yuran pensijilan hendaklah dijelaskan dalam tempoh 14 hari. Sekiranya lewat, permohonan akan ditolak.

S: Apa antara syarat wajib yang mesti dipatuhi untuk mendapatkan sijil dan logo halal JAKIM?

Othman: Pemohon atau pengilang hendaklah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)/Suruhanjaya Koperasi Malaysia/lain-lain agensi kerajaan mempunyai lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT)/surat akuan dari agensi kerajaan; beroperasi sepenuhnya terlebih dahulu sebelum permohonan dibuat; mengeluar dan/atau mengendalikan produk halal sahaja serta mematuhi standard halal ditetapkan; memastikan sumber bahan ramuan adalah halal dan memilih pembekal yang membekalkan bahan halal atau mempunyai sijil pengesahan halal yang diiktiraf; memohon semua jenis produk/ menu yang dikeluarkan di kilang/premis berkenaan; permohonan bagi pembungkusan semula (repacking) hendaklah mengemukakan sijil halal yang diiktiraf bagi produk itu.

S: Kategori yang tidak layak memohon sijil halal JAKIM?

Othman: Permohonan yang tidak layak memohon adalah seperti produk yang tidak halal; sebarang permohonan yang tidak mempunyai standard rujukan/garis panduan; syarikat yang mengeluar dan mengedar produk halal dan tidak halal; penggunaan jenama yang sama bagi produk halal dan tidak halal; produk/premis makanan yang memberi implikasi negatif terhadap agama dan sosial (contoh: pusat karaoke, pusat hiburan, dadah, rokok, pewarna rambut, pewarna kuku dan lain-lain); produk semula jadi yang tidak membabitkan sebarang proses seperti ikan segar, sayur-sayuran segar, telur segar dan seumpama dengannya; baja dan makanan binatang; pinggan mangkuk; kertas; produk yang menggunakan nama atau nama yang sinonim dengan produk tidak halal atau istilah yang mengelirukan seperti ham, bak kut teh, bacon, beer, rum, hotdog, charsiew dan seumpama dengannya; produk siap dalam dan luar negara yang dilabel semula (relabelling) tanpa menjalani apa-apa proses di Malaysia; dapur/ premis makanan/perkhidmatan penyajian makanan yang menyediakan makanan yang haram dari segi syarak; produk yang masih dalam peringkat awal penyelidikan dan pembangunan (R&D); produk yang boleh membawa kepada penyelewengan akidah, perkara khurafat dan penipuan; dan hotel yang mempunyai dapur yang menyediakan menu berasaskan babi.

Namun, produk yang tidak mempunyai standard rujukan/garis panduan yang menepati kriteria seperti di bawah boleh dipertimbangkan iaitu mempunyai 'direct contact' dengan makanan; wujud keraguan pada sumber bahan pembuatan/ ramuan yang kemungkinan dari sumber halal atau tidak halal; digunakan sebagai bahan bantuan pemprosesan dalam proses pembuatan makanan; dan tidak menimbulkan kekeliruan jika dipersijilkan. Contohnya penapis air; sabun pencuci; 'surface sanitizer'; 'lubricant (food grade); 'bleaching earth'; tawas dan gas.

S: Berapa lama tempoh masa untuk mendapatkan kelulusan dan adakah JAKIM akan melakukan pemantauan secara berkala untuk memastikan pemegang sijil mematuhi syarat ditetapkan?

Othman: Tempoh masa untuk mendapatkan kelulusan sijil halal Malaysia adalah dalam tempoh 30 hari selepas pembayaran dibuat. Bagaimanapun, ia bergantung kepada komitmen industri dan jadual audit lapangan. Semua permohonan perlu disertakan dengan dokumen sokongan lengkap untuk rujukan pegawai semakan. Seterusnya syarikat perlu membuat bayaran fi pensijilan sebelum audit lapangan dilaksanakan. Ingin saya buat sedikit penjelasan, seringkali kita mendengar syarikat mengadu sukar untuk mendapat sijil halal, lambat proses dan sebagainya. Di sinilah wujudnya kelompongan di mana pihak pemohon tidak bersedia untuk mengemukakan dokumen yang diperlukan. Situasi sebenar yang kami peroleh, ada juga syarikat yang tidak membuat bayaran dalam tempoh masa yang ditetapkan iaitu 14 hari dari tarikh surat caj. Malah adakala dokumen sokongan turut tidak disertakan atau dokumen itu tidak lengkap. Adakalanya setelah diaudit, ditemui terlampau banyak kesalahan atau ketidakpatuhan industri terhadap Manual Prosedur Pensijilan Halal. Inilah antara punca utama yang menyumbang kepada kelewatan dalam permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Ya, JAKIM memang melakukan pemantauan secara berkala untuk memastikan pemegang sijil mematuhi syarat yang ditetapkan sekurang-kurangnya sekali setahun sepanjang tempoh pensijilan.

S: Komen mengenai sesetengah pemilik premis makanan yang menggunakan logo halal JAKIM seolah-olah menggambarkan semua produk di situ adalah halal, sedangkan mungkin hanya satu produk sahaja contohnya roti yang diberikan kelulusan halal?

Othman: Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia mensyaratkan semua premis makanan yang memohon sijil pengesahan halal Malaysia hendaklah memohon pensijilan halal untuk keseluruhan produk yang disajikan oleh premis berkenaan.

S: Bukankah keadaan itu boleh mengelirukan terutama pengguna Muslim. Bagaimana pula dengan logo halal tetapi bukan keluaran JAKIM?.

Othman: Di sini tiada kekeliruan kepada pengguna kerana setiap premis mestilah memohon sijil halal untuk keseluruhan produk. Sehingga kini hanya logo halal Malaysia yang terpakai di samping pengiktirafan logo-logo halal antarabangsa yang dikeluarkan oleh badan-badan pensijilan halal luar negara.

S:Apakah nasihat Datuk untuk peringatan atau tips kepada pengguna bagi mendapatkan produk makanan atau barangan halal?.

Othman: Pastikan produk dan premis memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia; kenal pasti logo-logo halal antarabangsa yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dan semak maklumat pengesahan halal melalui portal www.halal.gov.my atau melalui aplikasi telefon pintar myJakim.

Berita Harian X