Selasa, 23 Februari 2016 | 12:21am
KEK Too Much Chocolate Cake yang menjadi identiti Danish. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
DANISH Harraz mengembangkan bakat dalam bidang kulinari dan pastri. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
DANISH, mengeluarkan kek yang sudah dimasuk dari oven. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
DANISH menunjukkan langkah-langkah untuk membuat kek ciptaannya iaitu Too Much Chocolate Cake di Setia Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
DANISH Harraz Hafiz, gemar mempelajari sesuatu yang baru mengenai masakan di Setia Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
DANISH sibuk menyusun makanan ketika menyertai usaha membantu gelandangan menerusi program amal Need To Feed The Need di Kuala Lumpur. - Foto Yazit Razali
DANISH melayan kanak-kanak gelandangan di program amal Need To Feed The Need di Kuala Lumpur. - Foto Yazit Razali

Si cilik hasilkan kek bantu gelandangan

SHAH ALAM: Usianya baru mencecah sembilan tahun, namun Danish Harraz Abd Hafiz sudah menyelami kehidupan masyarakat kurang bernasib baik sambil membantu mereka dengan cara tersendiri.

Berbekalkan bakat kulinari dan pastri, anak kepada pasangan Abd Hafiz Abd Halim, 38, dan Noorliza Abdul Rahman, 40, bukan setakat memberi kepuasan kepada pembeli kek dibuatnya, tetapi juga sinar buat gelandangan di jalanan.

Ini kerana sebahagian daripada keuntungan jualan kek, biskut dan juadah lain yang dibuatnya, digunakan bagi membiayai program bersama kanak-kanak golongan kurang bernasib baik itu.

Sumbangan itu disalurkan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai 'Need To Feed The Need' (NFN) yang disertainya.

Noorliza yang juga seorang juruaudit, berkata sekurang-kurangnya 10 peratus atau lebih daripada jualan air tangan Danish, disumbang kepada tabung NFN setiap bulan.


DANISH Harraz menghias kek ciptaannya yang menjadi kegemaran pelanggan, Too Much Chocolate Cake. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

"Kami tidak pernah memaksa tetapi itulah kemahuan Danish sendiri. Segala-galanya bermula apabila dia melayari milik selebriti, Daphne Iking, yang memaparkan aktiviti NFN.

"Dari situ, Danish menghubungi penaung NFN dan menawarkan diri sebagai sukarelawan. Menyedari hasrat itu bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam, saya dan suami sepakat  sama-sama menyertai NFN sebagai tanda sokongan kepada Danish," katanya.

Pada awal pembabitannya sebagai sukarelawan NFN,  Danish menyediakan juadah seperti kek, biskut, muffin dan kek cawan pada setiap minggu untuk dijamu kepada kanak-kanak di lokasi tumpuan gelandangan.

"Namun, berikutan kekangan masa ekoran tuntutan persekolahan pada tahun ini, aktiviti itu dijadikan acara khusus untuk Danish meraikan hari lahir anak-anak gelandangan pada setiap bulan," katanya.


DANISH membantu mengagih makanan di Program amal Need To Feed The Need di Kuala Lumpur. - Foto Yazit Razali

Pembabitan Danish dan keluarganya sebagai kru NFN, mendapat pujian pemimpin NGO terbabit,  Mark Ian Timms.

Menyifatkan si cilik itu sebagai sumber inspirasi kepada orang lain, Mark berkata, semangat dan komitmen ditunjukkan Danish amat luar biasa, tidak sepadan dengan usia yang masih terlalu muda.

"Danish adalah kebanggaan kami semua. Pada usianya yang masih muda, dia menyentuh hati ramai orang, dengan sikap yang begitu mulia," katanya.

Danish berkata, dia hanya mahu berkongsi kelebihan yang dikurniakan SWT kepadanya, bersama mereka yang kurang bernasib baik.

"Saya masih seorang budak, tak banyak yang mampu dilakukan. Ini cuma sumbangan kecil untuk  menggembirakan mereka," kata murid Tahun 3 di Tenby Schools Setia Eco Park itu.  

Tanpa pendidikan rasmi dan hanya berguru menerusi internet, kecekapan Danish dalam bidang kulinari dan pastri sangat menakjubkan.


Danish, menunjukkan bahan dan ramuan yang digunakannya bagi membuat kek yang menjadi identitinya, Too Much Chocolate Cake.- Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Kepintaran mengadun pelbagai  resipi yang diubah suai mengikut cita rasanya sendiri menjadikan hasil yang tercipta begitu menyelerakan.

Ketika dikunjungi di rumahnya baru-baru ini, wartawan dan kru BH turut berpeluang menikmati air tangan anak comel itu, yang menyediakan sendiri hidangan spageti tuna bercili, kek pisang bercip coklat serta kek identitinya yang menjadi kegemaran ramai, 'Too Much Chocolate Bundt Cake'.

Bagi wartawan BH, rasanya sungguh enak, hingga tidak sedar sudah menambah berkali-kali juadah yang disajikan.

Dikenali sebagai 'Danish's Red Kitchen', dapur yang berwarna merah milik anak kecil itu, dipenuhi dengan kelengkapan kulinari dan pastri yang diimport dari Amerika Syarikat oleh ibu bapanya.

Mula menunjukkan minat  dalam bidang kulinari dan pastri  seawal usia empat tahun, tetapi Danish hanya mula menceburkan diri pada usia enam tahun.


DANISH Harraz, memasukkan coklat ke dalam adunan tepung keknya. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Danish berkata, minatnya  mula berkembang kerana sering menonton  rancangan memasak dan bermain permainan video berbentuk  masakan di komputer.

"Saya gemar mengumpul  peralatan kulinari yang dibeli sedikit demi sedikit. Bahagian jualan peralatan kulinari dan pastri antara lokasi wajib yang saya kunjungi setiap kali ke pusat beli belah," katanya.

Bermula dengan mencuba resipi  mudah, Danish kini mempunyai kira-kira 100 pelanggan tetap yang sering pelbagai kek yang dihasilkannya.

"Ada dalam kalangan pelanggan saya menempah kek coklat "Too Much Chocolate Bundt Cake dan 'Lemon Bundt Cake' pada setiap minggu.

"Sokongan mereka membuatkan saya lebih bersemangat mencuba pelbagai jenis resipi lain," kata Danish sambil  memberitahu yang harga setiap kek dijual bermula daripada RM70 hingga RM170 sebiji bergantung kepada loyang yang digunakan.

"Harganya mungkin sedikit mahal kerana saya hanya mengguna kandungan atau ramuan premium sebab tidak mahu berkompromi dalam aspek rasa," katanya yang menghasilkan kira-kira 25 biji kek setiap bulan.


DANISH Harraz bersama kek yang dihasilkannya.

Apa yang menarik, Danish juga tidak keberatan untuk berkongsi setiap resipi yang diminta pengikut atau pelanggan yang mengikuti perkembangannya menerusi akaun Instagram, @danish.harraz

Bukan sekadar bereksperimen dengan resipi yang dikongsi, malah ada pengikutnya menjadikan ia sebagai sumber pendapatan.

"Saya tak kisah jika mereka dapat memanfaatkan resipi itu untuk menambah pendapatan masing-masing. Secara tidak langsung, menjadi usaha kecil saya berkongsi kebaikan dengan semua orang,"  katanya.

Berita Harian X