Selasa, 23 Februari 2016 | 12:17am
PEMANDANGAN yang cantik di Gunung Tahan. - Foto Nazirul Roeselan
PEMANDANGAN Gunung Tahan yang kaya dengan flora serta fauna. - Foto Nazirul Roeselan
PEMANDANGAN yang dapat dilihat di atas Gunung Tahan. - Foto Nazirul Roeselan
JERANTUT 12 FEBRUARY 2016. Pemandangan yang cantik di Gunung Tahan. STR/NAZIRUL ROSELAN
PEMANDANGAN di puncak Gunung Tahan sentiasa memukau pendaki. - Foto Nazirul Roeselan
SEBAHAGIAN pendaki yang berjaya sampa di puncak Gunung Tahan bergambar kenangan. - Foto Nazirul Roeselan
SUNGAI yang jernih serta bersih mengalir di puncak Gunung Tahan. - Foto Nazirul Roeselan

Ismail disapa penunggu Gunung Tahan

JERANTUT: Disapa 'penunggu' ketika berkhemah di puncak, segar dalam ingatan bekas penunjuk arah yang merekodkan pendakian Gunung Tahan sebanyak 238 kali.

Warga emas, Ismail Baki, 70, mendakwa kekerapan berulang alik ke puncak Gunung Tahan, mewujudkan 'hubungan istimewa' dengan penghuni alam ghaib yang dipercayai mendiami tanah tinggi itu.

"Dalam kejadian yang tidak boleh dilupakan, ketika sedang berehat, saya terdengar bunyi tapak kaki seseorang mendekati kedudukan khemah.

"Tiba-tiba saya terdengar orang berkata 'Oh..dia ini rupanya'. Bila saya keluar meninjau suara itu, tiada kelibat sesiapa pun berada di situ," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Merting di sini.

Gunung Tahan dengan ketinggian 2,187 meter adalah antara puncak tanah tinggi negara ini, yang sukar ditawan kerana laluan berliku yang perlu ditempuh, menuntut ketahanan fizikal dan mental setiap pendaki.


ISMAIL (kanan) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Merting. - Foto Nazirul Roselan

Bagi yang berhasil menawan puncak gunung terbabit, ia menjadi pencapaian membanggakan dan pengalaman paling indah, kerana berpeluang menjejakkan kaki ke kawasan yang kaya dengan flora serta fauna terbabit.

Ismail menyifatkan keupayaannya merekodkan 238 kali pendakian sejak 1978 sehingga bersara daripada menjadi penunjuk arah pada 2008, adalah pencapaian yang manis buat dirinya.

Katanya, beliau memulakan kerjaya sebagai penunjuk arah sejak usia 32 tahun selepas berdaftar dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Katanya, dia memilihnya menjadi pemandu arah gunung terbabit kerana minat mendaki sejak kecil terutama selepas berjaya menawannya bersama Orang Asli.

"Banyak kenangan ditempuh sepanjang menjadi pemandu arah terbabit tetapi detik tidak dapat dilupakan adalah mendakinya dalam tempoh kurang satu hari ketika berusaha menyelamatkan nyawa seorang pendaki dari Singapura.


ISMAIL bagaikan mempunyai 'hubungan istimewa' dengan penghuni alam ghaib yang mendiami Gunung Tahan berikutan kekerapannya berulang alik ke puncaknya.. - Foto Nazirul Roselan

"Saya lupa tahun kejadian tetapi berlaku pada bulan Ramadan. Demi mendapatkan bantuan perubatan, saya berlari menuruni puncak mulai jam 10.30 malam dan tiba di kaki gunung kira-kira jam 4.30 pagi dan sebelum berpatah balik.

"Malangnya, apabila sampai kembali ke puncak, lokasi pendaki warga asing itu menunggu, dia meninggal dunia," katanya.

Ismail berkata, bagi pendaki biasa, kebanyakannya mengambil masa enam hari untuk turun dan naik ke puncak gunung terbabit.

Namun, katanya dia pernah diminta PERHILITAN menggantikan seorang penunjuk arah mengiringi seorang pendaki Inggeris yang berjaya melengkapkan pendakian dalam tempoh kira-kira tiga hari.

Jumlah pendakian Gunung Tahun yang dicatatkan Ismail dipercayai lebih tinggi sekiranya ada pihak mengambil inisiatif membuat pengiraan rasmi kerana catatan 238 kali itu dibuat sendiri selepas dinasihati rakan-rakan.

 

"Jumlah pendakian sebelum kiraan dimulakan sudah banyak cuma tidak pernah dikira. Saya tidak kira kerana masa dahulu, tiada pihak mengiranya atau memberi pengiktirafan.


ISMAIL melihat album gambar lama ketika menjadi pemandu arah gunung Gunung Tahan sejak 1970 sehingga 2008. - Foto Nazirul Roselan

"Yang penting saya dapat menjalankan tugas dengan baik sehingga pencen (berhenti mendaki) pada tahun 2008," katanya.

Mengulas rahsia keupayaannya menawan Gunung Tahan sebanyak itu, Ismail berkata, dia tidak mengamalkan sebarang petua istimewa, melainkan amalan minum air rebusan akar kayu herba tradisional.

"Paling penting hanya minat dan komited dalam menjalankan tugas," kata bapa kepada empat anak itu yang menyuarakan keinginan kembali mendaki Gunung Tahan, jika diberikan keizinan oleh keluarga.

INFO Gunung Tahan

  • Gunung Tahan terletak dalam Taman Negara Pahang, terkenal untuk aktiviti lasak dan mencabar.
  • Antara laluan pendakian iaitu dari Kuala Tahan dan Merapoh
  • Setiap pendaki Gunung Tahan perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa
  • Trek pendakian Gunung Tahan ditutup pada musim tengkujuh

Berita Harian X