Selasa, 23 Februari 2016 | 12:14am

Plastik punca paus mati

PENEMUAN bangkai paus di muara Sungai Sarang Buaya, Semerah, Batu Pahat, Johor, baru-baru ini menarik perhatian ramai apatah lagi mamalia terbesar di laut itu jarang ditemui di perairan negara.

Meskipun pernah dilaporkan penemuan bangkai paus yang terdampar di Pulau Carey dan Banting, Selangor; Pantai Nenasi, Pahang; Sungai Sarang Buaya, Johor dan Pantai Pulau Sayak, Kota Kuala Muda, Kedah, kejadian terbaru itu mengundang persoalannya sendiri.

Apatah lagi, bedah siasat dan ujian histopatologi oleh Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) terhadap bangkai mamalia itu menemui cebisan plastik sampah dalam perut paus berkenaan.

Justeru, adakah perairan Malaysia sudah tercemar dengan begitu banyak sampah sarap, plastik dan bahan toksid sehingga mengancam paus dan hidupan laut yang lain?

Laporan paus mati berpunca daripada plastik bukan perkara asing, malah terlalu banyak kes hingga seolah-olah mamalia itu kini berdepan kepupusan kerana sikap manusia yang tidak mengabaikan penjagaan alam sekitar.

Pada Oktober tahun lalu, dilaporkan seekor paus panjang 15 meter ditemui mati di perairan Taiwan dan pemeriksaan mendapati dalam perut mamalia itu terdapat banyak sampah plastik.

Bedah siasat oleh pakar dari Universiti Kebangsaan Cheng Kung, Taiwan, Prof Wang Chien Ping mendapati, pengumpulan sampah yang banyak dalam perut mamalia itu mengakibatkan nafsu makan berkurang sehingga mengalami malnutrisi dan mati.

Chien Ping juga menjelaskan, sampah yang memasuki perut paus boleh menyebabkan penyakit radang hati, serta berupaya merosakkan dan melemahkan fungsi organ dalaman.

Memang menjadi amalan bagi pelbagai spesies paus membuka mulut dengan luas untuk makan dan sebarang benda asing yang berada di hadapan terpaksa ditelan dan dihadam.

Dengan plastik yang dikatakan mempunyai jangka hayat hampir 500 tahun, sudah pasti ia boleh menyumbang kerosakan kepada kitaran ekosistem laut.

Kajian oleh Profesor Jenna Jambeck dari Universiti Georgia mendapati lebih 100,000 hidupan marin dilaporkan mati setiap tahun akibat termakan bendasing kesan pembuangan plastik ataupun akibat pencemaran laut berpunca daripada pembuangan plastik.

INFO:

* 100,000 hidupan marin mati setiap tahun disebabkan sampah sarap

* 54 peratus daripada 120 mamalia laut dalam senarai spesies terancam mati disebabkan oleh plastik

* 92.5 peratus burung yang mendapatkan makanan di laut mati akibat tertelan plastik

* Sebanyak 250 haiwan marin termasuk kura-kura, ikan lumba-lumba ditemui mati di perairan Sepanyol disebabkan plastik pada 2013.

* Bahan kimia digunakan dalam plastik seperti Phthalates, Bisphenol A (BPA) atau Polybrominated banyak ditemui dalam ikan dan mamalia laut.

* Kajian Prof Jenna Jambeck mendapati 8.8 juta tan plastik berakhir di laut di seluruh dunia setiap tahun.

* China, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Sri Lanka adalah lima negara yang kawasan pantainya paling dicemari sampah plastik.

* China menyumbang pembuangan 2.4 juta tan plastik di lautan atau 28 peratus daripada keseluruhan negara di dunia.

* Amerika Syarikat menyumbang pembuangan 77,000 tan sampah plastik di laut

* Beg plastik mengambil masa 400 hingga 1,000 tahun untuk reput dan sisa kimianya kekal.

* Plastik mampu hanyut pada jarak yang jauh. Contohnya, puluhan botol plastik yang tertera tulisan Jepun ditemui di pantai di Amerika Utara, selepas 10 bulan tsunami membadai negara itu.

Kes paus ditemui mati kerana plastik;-

* Mac 2015 - seekor paus ditemui mati di perairan Teluk Likas, Sabah selepas termakan bahan plastik seberat 4.25 kilogram

* Mac 2013 - seekor paus seberat 4.5 tan ditemui mati di pantai Granada, Sepanyol pada Mac 2013 selepas menelan sejumlah besar plastik seberat 17 kilogram.

* Januari 2009 - seekor paus sepanjang 12 meter ditemui mati di Pantai Batu Belig, Kuta Utara, Bali, Indonesia dan menemui sejumlah sampah plastik dalam perutnya.

Info plastik

* Polimer sintetik atau separuh sintetik

* Dibentuk daripada kondensasi organik atau penambahan polimer

* Mengandung zat nonplastik yang disebut aditif

* Bahan aditif berfungsi sebagai pewarna, antioksidan, penyerap sinar ultraviolet, antilekat.

* John Wesley Hyatt dari Amerika adalah orang pertama menghasilkan plastik bagi pembuatan gigi palsu dan bingkai kacamata

Berita Harian X