Isnin, 22 Februari 2016 | 2:17pm

Wanita belum kahwin dilarang miliki telefon bimbit

NEW DELHI: Sebuah kampung di Gujarat memutuskan untuk mendenda wanita belum berkahwin kerana memiliki telefon bimbit dan menawarkan ganjaran kepada maklumat penggunaan alat komunikasi itu secara haram.

"Mengapa gadis perlukan telefon bimbit? Internet cuma membuang masa dan wang bagi komuniti kelas pertengahan seperti kita.

"Gadis sepatutnya menggunakan masa mereka untuk belajar atau membuat kerja lain," kata kata Ketua Kerajaan di Kampung Suray, Devshi Vankar.

Kampung berkenaan, yang terletak di daerah kelahiran Perdana Menteri Narendra Modi di Mehsana, melaksanakan larangan itu pada 12 Februari lalu.

Wanita belum berkahwin yang menggunakan atau memiliki telefon bimbit akan didenda Rs 2,100 (RM130). Jika saudara-mara mahu berhubung, pengecualian dibolehkan dan ibu bapa boleh memberikan telefon bimbit kepada anak gadis mereka.

Penyampai maklumat yang memberitahu pihak berkuasa kampung mengenai penggunaan terlarang telefon bimbit akan menerima Rs 200 (RM12) sebagai ganjaran.

Vankar berkata, seluruh 2,500 penduduk kampung berkenaan bersetuju dan menyambut baik keputusan itu, yang menyusul kempen antialkohol menyasarkan penduduk lelaki.

"Pengambilan alkohol dan penggunaan telefon bimbit oleh wanita mencetuskan banyak gangguan dalam masyarakat.

"Gadis muda keliru. Ia boleh memecah-belahkan keluarga dan merosakkan hubungan. Larangan berkenaan adalah idea penduduk kampung," kata pemimpin komuniti dari utara Gujarat, Raikarnji Thakor, mengenai larangan itu. - AGENSI

Berita Harian X