Ahad, 21 Februari 2016 | 9:32pm

ATM, PDRM, UPP bantu banteras penyeludupan pokok kurma

TIMBALAN Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pertanian, Zanil Abdin Yusof (kanan) bersama pegawainya menunjukkan kesan serangan kumbang merah palma pada batang kelapa sawit ketika meninjau beberapa nurseri yang menjual pokok kurma di Kampung Limau Purut hari ini. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pertanian, Zanil Abdin Yusof (kanan) bersama pegawainya menunjukkan kesan serangan kumbang merah palma pada batang kelapa sawit ketika meninjau beberapa nurseri yang menjual pokok kurma di Kampung Limau Purut hari ini. - Foto BERNAMA

PASIR MAS: Jabatan Pertanian akan bekerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan di sempadan bagi membanteras penyeludupan pokok kurma ke negara ini terutama melalui pangkalan haram di negeri ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pertanian, Zanil Abdin Yusof, berkata melalui kerjasama itu, Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu jabatan itu bagi mengesan dan merampas pokok kurma yang cuba diseludup sebelum diserahkan kepada Jabatan Pertanian.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas meninjau beberapa nurseri yang menjual pokok kurma di sini hari ini dan memberi taklimat ringkas kepada pegawai dan anggota agensi keselamatan.

Mereka diberi penerangan untuk mengenal dengan lebih dekat pelbagai jenis pokok kurma bagi memudahkan usaha mengecam jika ada cubaan menyeludup pokok berkenaan di peringkat awal tumbesaran iaitu 0.3 meter, melalui pangkalan haram yang ada di negeri ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian Faridah Aini Muhammad dan Pengarah Pertanian Kelantan Che Mohd Nor Che Endok.

Mengikut data polis, terdapat lebih 150 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok mulai dari daerah Tumpat sehingga ke Buketa, Jeli, sejauh lebih 100 kilometer.

Zanil Abdin berkata, kerjasama seperti ini amat penting bagi membanteras penyeludupannya kerana pokok kurma yang dibawa masuk secara haram dikhuatiri membawa Kumbang Merah Palma yang akan menjejaskan pokok palma di negara ini seperti pokok kelapa, kelapa sawit dan kurma.

"Setakat ini, sebanyak 450 hektar tanaman kelapa di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang telah musnah akibat dirosakkan oleh kumbang spesies ini, selain 350 batang pokok kurma juga mengalami nasib sama.

"Kita bimbang jika populasi kumbang ini tidak dikawal, ia akan menyerang tanaman kelapa sawit, sekali gus menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara jika industri minyak sawit negara terjejas," katanya.

Mengulas lanjut, Zanil Abdin berkata pengusaha yang memiliki pokok kurma diminta untuk melaporkan tanaman itu kepada Pejabat Pertanian terdekat bagi memudahkan pihaknya membuat rawatan terhadap pokok yang didapati diserang Kumbang Merah Palma.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga menghalang sebarang pergerakan pokok kurma tersebut dari satu tempat ke tempat lain bagi mengelak penghijrahan serangga berkenaan.

"Kita akan memantau populasi Kumbang Merah Palma ini dari semasa ke semasa sehingga hujung tahun ini. Jika populasinya telah turun, maka kita akan pertimbang untuk benarkan pengusaha menanam kembali pokok kurma.

"Namun, jika ada pengusaha yang masih berdegil dan menyeludup pokok kurma secara haram dalam tempoh setahun ini, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 di mana pokok kurma yang diseludup boleh dimusnahkan," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X