Ahad, 21 Februari 2016 | 12:11am
TERATAK Malaya berkonsepkan rumah tradisional Bali. - Foto Matzidi Dris
HARGA bermula dari RM120 hingga RM350 untuk satu malam, termasuk sarapan. - Foto Matzidi Dris
KEINDAHAN semula jadi yang mendamaikan. - Foto Matzidi Dris
TERATAK Malaya tawarkan kemudahan mengadakan kursus, seminar, mesyuarat atau hari keluarga. - Foto Matzidi Dris

Santai dalam suasana damai di Teratak Malaya


PEMANDANGAN di Teratak Malaya yang tenang dan mendamaikan. - Foto Matzidi Dris

TENANG dan mendamaikan, jauh dari suasana tegang serta kesibukan.

Begitulah suasana ketika berada di Teratak Malaya, di Janda Baik kira-kira 40 kilometer dari Kuala Lumpur.

Terletak dalam daerah Bentong, Pahang, teratak ini memang tempat terbaik untuk merehatkan minda dan badan.

Tutup atau senyapkan telefon bimbit anda sementara waktu dan nikmati sepenuhnya ketenangan di teratak ini dengan menghirupkan udara segar.

Teratak Malaya terletak di tanah tinggi adalah antara 40 tempat penginapan yang terdapat di sekitar Janda Baik.

Baru-baru ini penulis penulis berkunjung ke Teratak Malaya yang menyediakan 45 unit calet dan dua rumah pokok yang direka khas menggunakan kayu dan buluh oleh pemiliknya, Wan Abdul Malik Wan Hamat.

Terdapat juga enam unit asrama yang boleh menampung 300 penghuni serta sebuah kafe yang dapat memuatkan 200 orang.


CHALET Teratak Malaya dibina di atas tanah seluas dua hektar dengan dikelilingi pohon menghijau dan bunga. - Foto Matzidi Dris

Selain itu, ada dewan utama yang dapat menampung 250 orang, tiga unit dewan seminar untuk 80 orang setiap satu serta surau.

Ia juga mempunyai tapak perkhemahan untuk 250 orang dan sebuah padang.

Berkonsep Bali

Lokasi Teratak Malaya yang strategik berlatar belakang bukit dan sungai sudah pasti memukau mata memandang dan meredakan segala kepenatan bekerja.

Chalet Teratak Malaya dibina di atas tanah seluas dua hektar itu bagaikan rumah dalam taman dengan dikelilingi pohon menghijau dan bunga pelbagai warna serta kolam ikan yang menjanjikan kelainan selain ruang biliknya ringkas tetapi amat selesa.


PEMILIK Teratak Malaya, Wan Abdul Malik Wan Hamat. - Foto Matzidi Dris

Wan Abdul Malik berkata, Teratak Malaya berkonsepkan rumah tradisional Bali apabila dindingnya dibuat daripada buluh menawarkan harga berpatutan dari RM120 hingga RM350 untuk satu malam, termasuk sarapan.

Tempahan ikut cita rasa pelanggan

Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan tempahan makan tengah hari dan malam mengikut cita rasa pengunjung.

Katanya, selain menikmati keindahan alam, pengunjung boleh menikmati kedamaian hidup di kampung dan meredah hutan untuk ke kawasan air terjun serta pelbagai aktiviti lasak termasuk permainan paintball.

Pengunjung yang datang berkumpulan boleh bermain sepak takraw, bola tampar, badminton dan bola sepak pantai atau sekadar mandi di sungai serta memberi makanan kepada ikan di kolam yang terletak di hadapan chalet.


SEBATANG sungai berhampiran dengan Teratak Malaya sesuai untuk kaki pancing. - Foto Matzidi Dris

Memancing di sungai berhampiran

Bagi kaki pancing, sebatang sungai berhampiran dengan Teratak Malaya memang sesuai untuk mereka melepaskan hobi memancing sekali gus menjinakkan ikan sungai yang dikatakan bersaiz besar.

Wan Abdul Malik berkata, Teratak Malaya turut menawarkan kemudahan bagi agensi kerajaan atau syarikat korporat yang mahu mengadakan kursus, seminar, mesyuarat atau hari keluarga.

Katanya, setakat ini ada beberapa syarikat korporat dari China, Taiwan dan Singapura pernah menggunakan Teratak Malaya sebagai lokasi untuk mengadakan kursus bina semangat.

Teratak Malaya juga sudah banyak kali menjadi lokasi penggambaran drama televisyen oleh beberapa penerbit tempatan.

Berita Harian X