Sabtu, 20 Februari 2016 | 11:22pm

Dua lelaki berparang samun kedai serbaneka

DUA suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun di Bukit Sentosa.
DUA suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun di Bukit Sentosa.

HULU SELANGOR: Sebuah kedai serbaneka 24 jam kerugian selepas disamun dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Bukit Sentosa di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata dalam kejadian jam 4.40 pagi itu, dua lelaki masuk ke kedai berkenaan dan berpura-pura mahu membeli barang.

"Dua suspek terbabit mengeluarkan parang dan mengacukannya kepada pekerja kedai terbabit. Suspek kemudian melarikan wang tunai dan rokok pelbagai jenama dengan menaiki motosikal," katanya ketika dihubungi tadi.

Supramaniam berkata, jumlah kerugian masih belum dikenal pasti dan tiada pelanggan lain ketika kejadian berlaku.

"Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata.

Berita Harian X