Khamis, 18 Februari 2016 | 3:51pm

Isu 'no pork': JAKIM serah kepada KPDNKK


KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Othman Mustapha. - Foto BERNAMA

IPOH: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak akan bertindak terhadap pemilik premis makanan dan pemilik restoran yang menggantung papan tanda serta mempamer pelekat `no pork' dan `pork free' yang boleh mengelirukan umat Islam.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, berkata tindakan adalah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Katanya, JAKIM menasihatkan umat Islam melihat halal bukan bersabit isu tanda atau label, tetapi perlu secara menyeluruh dengan memastikan makanan diambil benar-benar halal dari sudut Islam.

Katanya, perolehan logo halal Malaysia adalah bersifat sukarela dan pengusaha boleh memohon sijil berkenaan atau sebaliknya untuk mengusahakan perniagaan makanan.

"Sesiapa nak mohon sijil halal, ikut syarat, kita bagi, dia boleh jual dan siapa yang tak mohon halal pun boleh jual tak ada masalah, cuma istilah 'no pork' itu untuk memberitahu masyarakat tidak ada babi.

"Halal bukan sahaja aspek babi, kalau ayam tidak disembelih sama juga," katanya kepada pemberita pada majlis menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan ke-37 di Pusat Konvensyen Amanjaya, di sini, hari ini.

Beliau ditanya sama ada JAKIM akan mengambil tindakan terhadap pengusaha premis makanan dan pemilik restoran menggantung papan tanda dan mempamer pelekat `no pork' dan `pork free' yang boleh mengelirukan umat Islam.

Othman berkata, umat Islam perlu berhati-hati dan seboleh-bolehnya membeli makanan daripada premis yang mendapat logo halal Malaysia.

"Ada pengusaha tak minta sijil halal dan tidak pamer logo halal tapi tak semestinya kedai itu haram. Terserah kepada kita (umat Islam) sebab itu kita kata sijil halal ini masih sukarela, tapi kalau mereka yang sudah dapat sijil halal maka kena ikut prosedurnya.

"Ada orang kata nak cari kedai ada sijil halal dan ada yang tak kisah, jadi kita nasihat supaya tidak ragu, pilihlah yang sudah ada sijil halal Malaysia," katanya.

Mengenai keperluan mewujudkan unit khas menggabungkan pegawai penguat kuasa JAKIM dan KPDNKK bagi meningkatkan penguatkuasaan isu halal dengan lebih berkesan, Othman berkata mekanisme berkenaan sudah ada.

"Baik di JAKIM mahu pun Jabatan Agama Islam negeri, kita ada jawatankuasa bukan sahaja dengan KPDNKK, malah agensi yang terbabit dalam halal turut dibawa dalam jawatankuasa itu," katanya.

Berita Harian X