Rabu, 17 Februari 2016 | 12:33pm

Sime Darby timbang jual aset hartanah RM2.104b

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd, pengeluar minyak sawit senaraian awam terbesar dunia berdasarkan nilai pasaran, menimbang untuk menjual aset hartanah bernilai AS$500 juta (RM2.104 bilion) di Australia dan Singapura bagi mengurangkan beban hutang, kata sumber.

Konglomerat itu, yang turut memegang francais pengedaran kenderaan dan mengendalikan hospital, meninjau pelbagai pilihan, kata seorang jurucakap Sime Darby dalam maklum balas kepada soalan berhubung cadangan itu.

"Ia termasuk pendekatan berhemah ke arah perbelanjaan modal, pembiayaan semula hutang, pengurusan modal kerja dan pelbagai opsyen pengewangan aset kumpulan, termasuk amanah pelabur hartanah.

"Kumpulan ini juga mengumumkan program sukuk berterusan (perpetual) baru-baru ini sebagai sebahagian daripada usaha mengurus tahap hutang," kata jurucakap itu yang dipetik The Wall Street Journal versi online.

Citigroup Inc adalah bank penasihat bagi cadangan pelupusan hartanah itu, kata sumber itu.

Sime Darby memiliki dan mengurus hartanah di luar negara daripada Regent Centre di Singapura hingga ke Karri Valley Resort di Australia, demikian menurut laman web syarikat itu. Ia juga memiliki pangsapuri khidmat di Singapura.

Cadangan penjualan hartanah itu muncul selepas Sime Darby membuat pinjaman bagi membeli New Britain Palm Oil Ltd, yang memiliki ladang di Papua New Guinea, pada pertimbangan tunai RM6 bilion (AS$1.45 bilion) tahun lalu.

Konglomerat itu sebelum ini bercadang menjana dana, termasuk menyenaraikan perniagaan automotif, yang ditangguhkan disebabkan persekitaran pasaran yang tidak memberangsangkan.

Sime Darby memiliki hutang RM19.7 bilion setakat akhir September, demikian menurut kenyataan yang difailkan di Bursa Malaysia.

Penyusutan dalam harga minyak sawit tahun lalu memberi tekanan kepada pendapatan dan aliran tunai syarikat itu.

Berita Harian X