Ahad, 19 Oktober 2014 | 7:55pm
AKSI atlet wushu negara, Tai Cheau Xuen pada Sukan Asia 2014 yang lalu.

Danyal mahu buat rayuan kepada WADA kes Cheau Xuen

SEREMBAN: Ketua kontinjen Sukan Asia 2014, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mahu membuat rayuan kepada Agensi Antidoping Antarabangsa (WADA) bagi pihak atlet wushu wanita, Tai Cheau Xuen.

Pemenang pingat emas acara gabungan nanquan dan nandao, gagal dalam ujian doping di Incheon pada 20 September lalu dan kini berdepan hukuman penalti atau penggantungan.

"Saya ada alasan munasabah dan kukuh untuk mengemukakan rayuan awal. Kita bukan hendak mempersoalkan prosedur atau peraturan proses doping tetapi hanya meminta kelonggaran dalam membuat keputusan terhadap atlet itu.

"Rayuan itu akan dikemukakan dalam tempoh terdekat walaupun WADA belum memutuskan nasib atlet itu," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kejohanan Wushu Pencarian Bakat Sekolah Peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Presiden Majlis Pendekar Malaysia (MPM), Tan Sri Omardin Mauju.

Beliau berkata selaku ketua kontinjen negara Sukan Asia 2014 dia akan membuat rayuan itu memandangkan Cheau Xuen tidak berniat mengambil bahan terlarang, 'sibutramine'.

Danyal, yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), berkata rayuan itu akan dikemukakan dengan sokongan Persekutuan Wushu Malaysia.

"Kami tidak mahu minat dan kerjaya Cheau Xuen terkubur begitu saja, gara-gara kes ini...lebih-lebih lagi menjelang Sukan SEA 2015 di Singapura. Lagi pun, atlet ini sudah mencapai taraf dunia," katanya.

Berikut kegagalan ujian doping, pingat emas Cheau Xuen, 23, atlet kelahiran Negeri Sembilan itu, ditarik balik oleh Majlis Olimpik Asia (OCA). - BERNAMA

Berita Harian X