Ahad, 14 Februari 2016 | 12:14am
ABANG Shamat Abang Lek menunjukkan gong lama yang diperbuat daripada tembaga tulin. - Foto Khalid Latip
ANTARA koleksi kesayangannya Abang Shamat. - Foto Khalid Latip
PEDANG dan tembikar lama ini juga ada ceritanya sendiri. - Foto Khalid Latip

Tak lena selagi gagal miliki jam impian


ABANG shamat menunjukkan sebahagian daripada koleksi jam vintaj miliknya. - Foto Khalid Latip

MENJADIKAN jam vintaj sebagai koleksi peribadi pastinya memberi kepuasan kepada si pemilik, lebih-lebih lagi ada di antara jam dalam simpanan itu berusia puluhan tahun dan dikeluarkan secara edisi terhad.

Justeru, tidak hairanlah jika ada dalam kalangan pengumpul jam sebegini sanggup menghabiskan wang semata-mata mahu melengkapkan koleksi peribadi mereka, malah sanggup terbang ke negara tertentu bagi mendapatkannya.

Tidak cukup dengan itu, sesetengah pengumpul jam turut menyediakan peruntukan tertentu bagi menanggung kos penyelenggaraan koleksi jam masing-masing, selain disimpan di tempat khas sehingga menjadikan rumah atau kediaman masing-masing saling tidak ubah seperti sebuah muzium.

Bagi pengumpul tegar koleksi jam vintaj, Abang Shamat Abang Lek, 60, yang berasal dari Sarikei, Sarawak, kecenderungannya mengumpul jam lama adalah didorong oleh minat terhadap keunikan rekabentuk atau ciri-ciri teknikal pada alat pengukur waktu itu.

Katanya, hobi mengumpul jam vintaj itu bermula sejak 10 tahun lalu ketika beliau masih lagi bekerja, dengan minat berkenaan terus bercambah selepas bersara dari Pos Malaysia.

"Di peringkat awal dulu, saya hanya mengumpul jam tangan, seterusnya jam perhiasan. Sebenarnya, saya tidak begitu tertarik pada jenama jam, tetapi keunikan reka bentuk, sejarah penciptaan dan ciri-ciri teknikal pada sesuatu jam yang disifatkan satu pencapaian kejuruteraan terhebat," katanya.


ABANG Shamat berkongsi minat dengan generasi baru. - Foto Khalid Latip

Model tidak lagi wujud

Antara koleksi terawal miliknya ialah jam antik keluaran Jerman, Rusia, Jepun dan Switzerland keluaran 1930-an hingga 1950-an.

Semua model itu tidak lagi wujud di pasaran ketika ini.

"Kebanyakan jam saya beli sendiri daripada pemilik asalnya dan hasil pencarian di seluruh tempat. Jika terjumpa, saya tidak akan tidur nyenyak selagi tidak memilikinya.

"Ada yang dijual kepada saya, namun ada juga yang saling bertukar koleksi. Di mana saja terdengar ada orang menawarkan jam vintaj, saya bergegas mencari individu berkenaan," katanya.

Abang Shamat berkata, sebahagian besar jam vintaj dalam koleksinya adalah dari jenis mekanikal yang lebih mudah diselenggarakan, selain tahap lama dan mempunyai kualiti pembuatan mengagumkan.

"Kebanyakannya juga dihasilkan secara manual (buatan tangan), dengan ada di antaranya edisi terhad, malah si pembuatnya bukan calang-calang orang. Justeru, harga pasarannya agak tinggi dan amat sukar diperoleh.

"Biasanya, jam jenis ini lebih tahan lama kerana menggunakan spring kekunci sebagai jangka hayat. Spring yang sentiasa dikunci bagi membolehkan ia berdetik sepanjang waktu," katanya .


DUIT siling lama juga menjadi koleksi simpanan Abang Shamat. - Foto Khalid Latip

Tinggalkan kesan nostalgia

Ditanya mengenai keunikan jam vintaj berkenaan, Abang Shamat menyatakan kebanyakan alat pengukur waktu itu dihasilkan bagi tempoh lama, sekali gus memerlukan bahan dari jenis terpilih dan berkualiti.

"Namun, secara peribadi, saya amat tertarik dengan rekaan dan elemen hiasan pada jam ini. Mungkin ia nampak biasa tetapi pembuatannya cukup teliti.

"Mana lagi hendak cari jam seperti ini," katanya yang menyifatkan koleksi itu membuatkannya lebih banyak bernostalgia sambil menghayati cara serta gaya hidup masyarakat dulu.

Selain jam, Abang Shamat juga mempunyai pelbagai koleksi barangan antik yang dipamerkan di rumahnya di Kampung Seberang Sarikei.

"Ada yang berminat ingin membeli, namun saya memang tidak menjual koleksi ini kerana ia adalah milik peribadi dan mempunyai kenangan tersendiri. Setakat ini saya belum terfikir hendak menjualnya," katanya.

Berita Harian X