Sabtu, 13 Februari 2016 | 12:16am

Restoran pamer tanda 'tiada babi' cetus persoalan

KUALA LUMPUR: Menggantung papan tanda atau mempamer pelekat 'pork free' di kebanyakan premis makanan terutama di kompleks beli-belah kini menjadi trend pengusaha bukan Islam untuk mengumpan pengguna Islam.

Malah, pengesahan logo halal asli yang hanya dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga dianggap perkara remeh oleh kebanyakan pemilik premis apabila sebahagian mereka mengutamakan keuntungan daripada memohon untuk mendapatkan pensijilan halal.

Tinjauan BH di kompleks beli-belah terkemuka di ibu negara semalam mendapati daripada 10 premis makanan, hanya sebuah premis memaparkan sijil halal JAKIM, manakala sembilan daripadanya hanya menggantung atau mempamerkan logo 'pork free'.

Lebih membimbangkan apabila terdapat umat Islam yang langsung tidak menitik beratkan status premis makanan berkenaan sama ada cara penyediaan atau sumber makanan berkenaan menepati piawaian ditetapkan JAKIM.


PENGARAH Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin.

Ada segelintir premis bertindak tidak memaparkan sebarang logo halal, selepas ditanya mengenai status restoran itu, barulah dimaklumkan bahawa ia berstatus 'pork free' dan tidak pernah memohon untuk mendapatkan sijil halal.

Menurut pekerja restoran berkenaan yang enggan namanya didedahkan, restoran itu tidak pernah memohon sijil halal kerana yakin jika permohonan dibuat ia akan ditolak.

Ini berikutan, katanya sumber asas menu yang dijual berstatus meragukan.

Berdasarkan tinjauan selama hampir 30 minit pada waktu puncak makan tengah hari, BH mendapati premis itu dipenuhi pengguna Islam yang tidak mengendahkan status halal di premis berkenaan.


CONTOH logo halal asli yang hanya dikeluarkan JAKIM.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayudin, berkata penguat kuasa tidak boleh mengambil tindakan terhadap pemilik premis makanan yang mempamerkan pelekat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 28 dan 29 Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 Bahagian Perintah Perihal Dagangan (takrif halal) 2011, iaitu cubaan mengelirukan pengguna Islam menerusi sebarang ayat al-Quran dan objek.

Katanya, istilah 'no pork' atau 'pork free' sebenarnya tidak menjanjikan sesebuah restoran itu menghidangkan makanan halal seratus peratus.

"Pengguna harus ingat, 'pork free' itu bukan bermaksud halal. Jadi jangan mudah terpedaya jika ramai orang Islam makan di sana, ia halal. Pengguna kena ada sifat keprihatinan yang tinggi kepada definisi makanan halal," katanya kepada BH.

Roslan berkata, bukan mudah untuk dapatkan sijil halal kerana restoran itu harus melepasi beberapa kriteria ketat yang digariskan oleh JAKIM seperti sumber makanan asas iaitu cara penyembelihan ayam, daging lembu, perkakas memasak yang bersih.

"Tukang masak haruslah suci daripada segala najis dan pelbagai lagi aspek kebersihan juga diambil kira. Bukan hanya berasaskan tiada babi, maka semuanya halal," katanya.

Pihak berkuasa perlu bertindak

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), mahu pihak berkuasa bertindak lebih tegas terhadap restoran terbabit.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu juga mendesak premis makanan yang meletakkan papan tanda sedemikian supaya menurunkannya segera.


NOTIS menyatakan 'no pork' (bebas daging babi) pada premis makanan dalam tinjauan BH.

Ini kerana tindakan mempamer papan tanda tertulis 'pork free' atau 'no pork di premis makanan yang dikunjungi ramai orang Islam menimbulkan keraguan sama ada makanan dijual benar-benar dijamin halal atau menepati hukum syarak dan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Tindakan mempamer papan tanda sedemikian juga seolah-olah memperlekeh peraturan status pensijilan halal dikeluarkan oleh JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), selain dikhuatiri boleh disalah guna bagi tujuan menarik dan mengelirukan pelanggan muslim.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, meminta pihak berkuasa mengarahkan papan tanda seumpama itu diturunkan, menggunakan kuasa seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.

"Isu halal ini sudah berlarutan agak lama.. selain masalah sijil halal itu yang sering dieksploitasi dan disalah guna, sekarang ini pernyataan ('no pork') seperti ini juga boleh menimbulkan pelbagai persepsi dan memberi maksud berbeza dalam kalangan masyarakat Islam mengenai status halal.

"Mungkin mereka ingat bila ada pernyataan 'no pork' dan 'free pork', maka ia sudah menunjukkan premis itu halal, ini tidak betul, kerana halal itu perlu merujuk kepada pensijilan halalnya yang dikeluarkan JAKIM," katanya.

Nadzim berkata, mengikut APD 2011, sudah ada larangan penggunaan pernyataan boleh mengelirukan pengguna Islam atau istilah serta ayat yang menimbulkan kekeliruan seperti gambar masjid, songkok atau potongan ayat al-Quran.

"Akta ini jelas tidak membenarkan.. peraturan mengenainya sudah ada, kenapa masalah seperti ini masih berlarutan, apakah ia berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan atau kesedaran pengguna Islam sendiri mengenai halal, masih lemah," katanya.

Mengikut Seksyen 28 dan 29 APD 2011, Bahagian Perintah Perihal Dagangan (takrif halal) 2011, memperuntukkan kesalahan bagi mereka yang cuba mengelirukan pengguna Islam menerusi penggunaan sebarang representasi termasuk ayat al-Quran, objek atau perkataan.


TIMBALAN Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman. - Foto Saifullizan Tamadi

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, meminta Akta Halal yang sudah dicadangkan sejak beberapa tahun lalu digubal dan dilaksana segera bagi mengelakkan lebih banyak masalah berkaitan status pensijilan halal pada masa depan.

Dengan pengenalan akta sedemikian, beliau yakin pemantauan dan penguatkuasaan pensijilan halal di negara ini akan lebih berkesan, selepas agensi seperti JAKIM dan JAIN itu diberi kuasa penuh.

Ketika ini, Bahagian Perintah Perihal Dagangan (takrif halal) 2011 di bawah APD terletak di bawah kawalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Sekarang ini JAKIM hanya berkuasa mengeluarkan dan menarik pensijilan halal dari mana-mana premis, dari segi kuasa mendakwa dan menguatkuasa, ia terletak di bawah bidang kuasa KPDNKK," katanya.

Selain kurangnya penguatkuasaan, kefahaman pengguna Islam terhadap perihal pensijilan halal kata Yusof masih rendah, menyebabkan mereka sering mengambil mudah soal halal haram ini.

Sebelum ini, JAKIM memaklumkan bahawa denda lebih berat akan dikenakan di bawah draf Akta Halal bagi kesalahan berkaitan pensijilan dan status halal berbanding denda sehingga RM5 juta jika sabit kesalahan di bawah APD 2011.

Difahamkan, draf itu sudah selesai dirumuskan sebuah jawatankuasa yang dilantik di bawah JAKIM dan menunggu masa untuk dibentangkan ke Kabinet.

 

Berita Harian X