Sabtu, 13 Februari 2016 | 12:05am
PENYEDIAAN mi di Restoran Mi Kari Udang Galah Resepi Haji Saharudin di Bandar Sri Permasuri, Cheras. - Foto Munira Abdul Ghani

Mi udang harga patut, resipi istimewa


Restoran Mi Kari Udang Galah Resepi Haji Saharudin di Bandar Sri Permasuri, Cheras.- Foto Munira Abdul Ghani

BUKAN senang nak cari restoran yang menyediakan udang galah dengan harga berpatutan.

Ini kerana apabila sebut saja hidangan yang berasaskan udang galah, ramai yang mengerutkan dahi apabila memikirkan harganya yang mahal.

Lebih-lebih lagi apabila menikmati hidangan udang galah di restoran sekitar Kuala Lumpur, harganya pasti berlipat kali ganda.

Bagi mereka yang pernah 'terkena' memang serik hendak menjejakkan kaki ke restoran berkenaan.

Namun, tidak mustahil pasti ada restoran menyajikan hidangan udang galah dengan harga mampu milik!

Kepada pengunjung yang pernah bertandang ke Restoran Mi Kari Udang Galah Resipi Haji Saharudin di Dataran Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur, mereka boleh menikmati harga semangkuk mi kari udang galah segar bersaiz L dengan harga serendah RM9!

Kenapa? Tak percaya? Pada awalnya memang kurang percaya, tapi apabila dimaklumkan oleh pemilik restoran berkenaan, penulis terus memesan semangkuk lagi!

Restoran Mi Kari Udang Galah Resipi Haji Saharudin dimiliki sepenuhnya oleh Koperasi Pengusaha Melayu Kuala Lumpur Berhad, diuruskan bersama Yang Di-Pertua Koperasi, Saharudin Mohd Noh, 62, dan Pengerusinya, Mohd Zam Sapihee, 63.

Mula beroperasi 8 September 2012 dan dirasmikan Datuk Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz pada 21 Mac 2015 (ketika itu Mhd Amin Ketua Pengarah).


ADAM Akmal Zubir menyediakan mi kari. - Foto Munira Abdul Ghani

Udang segar dan terpilih sahaja

Harga mi kari udang galah bergantung kepada saiz udang iaitu L, XL, XXL dan XXXL bermula serendah RM9 hingga RM30 semangkuk.

Ramuan istimewa mi kari udang galah adalah kombinasi resipi dari Perak (isteri Saharudin) dan Johor (Mohd Zam).

Udang galah segar diperoleh dari Rompin dan Pekan, Pahang; Kuala Selangor dan Tawau, Sabah. Lazimnya pada hujung minggu, 280 hingga 350 ekor udang galah pelbagai saiz diperlukan untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Menurut Saharudin, herba campuran yang digunakan ialah garam gunung yang diimport dari Pakistan, selain buah keras yang menjadikan rasa kuah kari itu bertambah enak.

Udang galah pula direbus terus dalam kuah kari, bukannya air rebusan udang dicampur ke dalam kuah kari. Justeru, rasa kuah udang itu manis dan kesegarannya terpelihara.

"Itulah keistimewaan mi kari udang galah di restoran kami. Kaedah berkenaan sekali gus mengurangkan penggunaan santan dan baik daripada segi kesihatan.

"Spesies udang galah pula mempunyai habitat yang sama dengan buaya iaitu hidup dalam air sungai. Udang galah memakan lumut di badan buaya. Justeru, udang galah mampu memberi atau menyumbangkan tenaga tambahan kepada pemakannya," katanya lagi.


ANTARA hidangan yang disediakan di Restoran Mi Kari Udang Galah Resipi Haji Saharudin, Bandar Sri Permasuri, Cheras. - Foto Munira Abdul Ghani

MINUMAN yang disediakan di Restoran Mi Kari Udang Galah Resipi Haji Saharudin, Bandar Sri Permasuri, Cheras. - Foto Munira Abdul Ghani

Pelbagaikan menu

Pengarah Urusan Restoran Mi Kari Udang Galah Resipi Haji Saharudin, merangkap ketua tukang masak, Muhammad Al-Hafiz Mohd Zam, 31, pula menjelaskan, mereka turut mempelbagaikan hidangan udang galah apabila menu seperti nasi beriani udang galah, nasi arab udang galah, sizzling udang galah dan udang galah asam pedas turut mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Katanya, selain mi kari udang galah, mereka turut mempromosikan kari kepala ikan disediakan oleh tukang masak yang mempunyai kemahiran dan pengalaman luas, Abdul Sarbudeen Abdul Kader atau Deen, 50.

Deen pernah mengusahakan perniagaan kari kepala ikan lebih 30 tahun, suatu ketika dulu hidangannya dikenali sebagai kari kepala ikan Pudu Ulu dan kini sajian itu diberi penjenamaan baharu iaitu kari kepala ikan MKUG kependekan daripada Mi Kari Udang Galah.

"Impian kami ingin menjadikan Bandar Sri Permaisuri umpama pekan Rompin dan Batu Pahat yang terkenal dengan pelbagai masakan udang galah, selain mampu memenuhi cita rasa peminat udang galah seluruh Malaysia," katanya.


PENGURUS Restoran Mi Kari Udang Galah Resepi Haji Saharudin, Muhammad Al- Hafiz Mohd Zam menunjukkan hidangan mi kari di Bandar Sri Permasuri, Cheras. - Foto Munira Abdul Ghani

Menu makanan utama

  • Mi kari udang galah pelbagai saiz (L, XL, XXL, XXXL)
  • Nasi beriani udang galah
  • Nasi arab udang galah
  • Sizzling udang galah
  • Kari kepala ikan
  • Kari kambing
  • Kari ketam
  • Kari telur ikan merah
  • Kari sotong
  • Beraneka jenis roti - canai/planta/bawang/pisang/keju

Menu minuman istimewa

  • Puteri Gunung Kedondong
  • Orange's Eleven
  • Ribena N Juliet
  • Mangogascar: Escape 2 Africa

gn4id:11964520

INFO: Restoran Mi Kari Udang Galah Resipi Haji Saharudin

  • Alamat: No 16 & 18, Jalan Dwitasik 2, Dataran Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur
  • No telefon: 03 9174 1956
  • Facebook (FB): https://www.facebook.com/meekariudanggalahresepihajisaharudin/
  • Instagram (IG): @meekari_udanggalah
  • Waktu operasi: Isnin hingga Khamis (11 pagi hingga 2 pagi), Jumaat (4 petang hingga 3 pagi), Sabtu & Ahad (11 pagi hingga 3 pagi)

Berita Harian X