Jumaat, 12 Februari 2016 | 6:53pm

Saham Asia jatuh didorong kejatuhan pasaran Jepun

HONG KONG: Kejatuhan hampir lima peratus di Tokyo mendorong kejatuhan sekali lagi pasaran Asia hari ini, mengakhiri satu lagi minggu yang menyakitkan pelabur global kerana kebimbangan ekonomi global dan kemungkinan kemelesetan menjejaskan perdagangan.

Kejatuhan di Jepun berlaku kerana yen meningkat ke paras tinggi dalam tempoh 16 bulan berbanding dolar AS.

Peningkatan itu mendorong kerajaan berkata ia akan mengambil langkah wajar, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa pegawai tertinggi menimbang kepada campur tangan dalam mata wang.

Bagaimanapun, harga minyak meningkat lebih empat peratus berikutan satu laporan bahawa anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) bersedia bekerjasama untuk mengurangkan keluaran bagi mengekang kejatuhan harga minyak yang menjejaskan pasaran dunia.

Penganalisis berkata, kebimbangan semakin meningkat bahawa bank pusat sudah kehabisan idea untuk menyediakan sokongan, dengan Sweden berkata akan menekan kadar faedahnya kepada negatif, beberapa minggu selepas Jepun mengguna pakai dasar sama buat kali pertama.

Langkah itu menjejaki langkah sama oleh Bank Pusat Eropah (ECB) dan Switzerland.

Sementara itu, Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed), Janet Yellen, berkata kepada Kongres kelmarin bahawa adalah tidak mungkin AS juga perlu mengambil langkah ekstrim itu.

Namun beliau terbuka kepada kemungkinan melaksanakannya.

"Dasar bank pusat dan ketidaktentuan sekitar keberkesanannya adalah kebimbangan yang besar ketika ini," kata Ketua Pegawai Pelaburan BNY Mellon Wealth Management yang berpangkalan di New York, Leo Grohowski, kepada Bloomberg News.

"Terdapat tidak saling kaitan ketika ini antara apa yang mungkin Fed lakukan, apa yang mereka perkatakan dan apa pasaran jangkakan," katanya.

Kebimbangan bahawa ketidaktentuan pasaran dunia akan menjejaskan ekonomi AS menambahkan lagi penjualan dan saham berkaitan kewangan terutama bank menerima tekanan.

Indeks Nikkei Tokyo jatuh 4.8 peratus pada penutup, jatuh kira-kira 10 peratus minggu ini meskipun ditutup pada Khamis sempena cuti umum.

Hong Kong ditutup 1.2 peratus lebih rendah selepas jatuh hampir empat peratus kelmarin, Sydney susut 1.2 peratus dan Indeks KOSPI 1.4 peratus lebih rendah.

Indeks bermodal kecil pasaran Korea Selatan, Kosdaq ditutup rendah lebih tujuh peratus, yang mana digantung sementara pada sesi berlangsung bila ia jatuh lapan peratus.

Penjualan susulan kejatuhan besar-besaran di Wall Street dan di Eropah.

Pada awal dagangan di London, pasaran meningkat satu peratus, Frankfurt melonjak 1.2 peratus dan Paris naik 1.4 peratus.

Dengan pelabur keluar daripada aset mempunyai hasil tinggi, pelaburan lindung nilai seperti yen meraih manfaat.

Mata wang Jepun itu meningkat lebih tujuh peratus berbanding dolar AS tahun ini dan berada pada paras sekitar paras tinggi sejak akhir Disember 2014. - AFP-

Berita Harian X