Jumaat, 12 Februari 2016 | 1:51pm

BN sasar rampas semula kerusi ditawan pembangkang

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. - Foto Amran HAmid

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah meletakkan harapan tinggi untuk merampas semula kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kuota MCA dan Gerakan, yang kini dimiliki pembangkang, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata selain kerusi Parlimen Alor Setar, tumpuan akan turut digerakkan untuk menguasai semula DUN Derga dan Sidam, yang diperuntukkan buat Gerakan, selain Kota Darulaman dan Bakar Arang yang menjadi kerusi tradisi MCA selepas jatuh ke tangan pembangkang pada PRU ke-13 lalu.

"Menjadi visi saya dan rakan komponen untuk dapat balik kerusi. Pada PRU-13 kita hilang sedikit kepercayaan dan keyakinan kaum Cina yang beralih pada pembangkang.

"Apa pun saya yakin dengan kerjasama semua pihak, kita mampu meyakinkan pengundi yang hilang sokongan supaya kembali kepada BN melalui program kita rancang dengan parti komponen, " katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Tahun Baru Cina anjuran Gerakan negeri Kedah, di sini, pagi tadi.

Pada PRU-13 lalu, Gerakan bertanding dua kerusi DUN iaitu di Derga dan Sidan, namun kalah. MCA juga tewas di tangan DAP melalui kerusi DUN di Kota Darulaman dan Bakar Arang, yang tewas di tangan PKR.

Bagaimanapun BN melalui MCA berjaya mengekalkan kedudukan di Gurun dan Kulim.

Pada masa sama, Ahmad Bashah, yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, mahu parti komponen dalam BN memainkan peranan meraih semula keyakinan masyarakat Cina khususnya di negeri ini.

Katanya, hanya BN yang mampu membawa perpaduan semua kaum demi menuju wawasan negara maju menjelang 2020.

Berita Harian X