Jumaat, 12 Februari 2016 | 12:09am
PAKAR minyak wangi, Camille Goutal. - Foto Munira Abdul Ghani

Camille sambung legasi empayar minyak wangi

BUKAN mudah untuk memastikan legasi yang ditinggalkan ibunya itu kekal berprestij dan mampu bertahan terutama dalam menghasilkan minyak wangi yang terjamin berkualiti lagi eksklusif.

Malah, pada masa sama beliau turut memikul tanggungjawab untuk memastikan setiap haruman dihasilkan tidak lari daripada identiti Annick Goutal, yang menjadi lambang kemasyhuran sejak dari awal kemunculannya.

Sebagai pakar minyak wangi, Camille Goutal, 40, bukan saja sentiasa sensitif dengan bau-bauan tetapi perlu selalu bermain dengan imaginasi dan emosi bagi mencari idea untuk menghasilkan haruman mempesonakan.

Paling penting, beliau perlu menjaga dan mengekalkan ketulenan wangian di bawah label Annick Goutal yang menjadi pilihan kebanyakan wanita elegan dan sofistikated, termasuk selebriti ternama daripada segenap pelusuk dunia.


CAMILLE yang berada di Kuala Lumpur sempena pelancaran wangian terbaharu daripada Annick Goutal, Rose Pompon. - Foto Munira Abdul Ghani

Haruman dan bau-bauan

Menceritakan pembabitannya dalam industri minyak wangi, pewaris tunggal Annick Goutal ini menyifatkan hubungan rapat dengan mendiang ibunya itu menjadikan beliau mudah menyesuaikan diri dalam bidang berkenaan walaupun memulakan karier awalnya sebagai jurugambar profesional.

"Memang sejak kecil lagi saya sudah didedahkan dengan persekitaran yang penuh dengan haruman dan bau-bauan kerana ibu akan sentiasa meminta saya mencuba setiap sesuatu haruman yang lama-kelamaan menjadi sebati kepada kami.

"Daripada pendedahan awal itu secara tidak langsung ibu sebenarnya mengajar saya untuk mengenali banyak bahan wangian yang sering digunakan dalam formula minyak wanginya," kata Camille dalam satu temubual khas dengan FAMILI sempena kunjungannya ke ibu negara baru-baru ini.

Camille berkata, idea menghasilkan minyak wangi juga berbeza daripada semasa ke semasa kerana bagi dirinya ia boleh datang menerusi imaginasi digabungkan bersama beberapa bahan haruman yang sentiasa segar dalam ingatannya.

Idea ketika bercuti

Sering kali juga beliau mudah mendapat ilham semasa bercuti terutama apabila bertemu dengan sesuatu membangkitkan memori zaman silamnya seperti kenangan manis ketika bersama ibunya yang meninggal dunia pada tahun 1999, akibat penyakit kanser payudara.

Katanya, percutian ke kepulauan Mauritius pada tahun 2000, misalnya memberi ilham kepadanya untuk menghasilkan minyak wangi dinamakan Songes yang bermaksud lamunan.

"Ia juga haruman kegemaran saya dan pertama saya hasilkan. Ia sungguh bermakna kerana saya menghasilkan selepas ibu meninggal dunia.

"Songes terhasil daripada bunga kemboja yang banyak saya temui di sekitar hotel ketika menginap di pulau berkenaan dan mempunyai kaitan dengan kenangan masa lalu," katanya.

Ambil masa berbelas tahun

Camille berkata, semasa hayat ibunya banyak suka duka yang dikongsi bersama, malah wanita itu turut mempengaruhi dirinya dalam menghasilkan minyak wangi.

Beliau menyifatkan ibunya, seorang yang teliti dan terlalu tekun setiap kali melakukan tugasan untuk menyiapkan minyak wangi yang diusahakannya.

Katanya, tidak hairanlah ada minyak wangi daripada jenama itu mengambil masa yang lama untuk dihasilkan bagi memastikan ia benar-benar berkualiti dan memenuhi identiti Annick Goutal.

"Ibu saya terlalu ghairah dengan setiap haruman dihasilkan sehingga ada kala ia mengambil masa 12 hingga 15 tahun untuk dihasilkan mengikut apa yang dikehendakinya," katanya.


WANGIAN terbaharu daripada Annick Goutal, Rose Pompon. - Foto Munira Abdul Ghani

Rose Pompon hadiah istimewa

Camille yang berada di Kuala Lumpur sempena pelancaran wangian terbaharu daripada Annick Goutal, Rose Pompon, hasil gabungannya dengan seorang lagi pakar minyak wangi terkemuka, Philippine Courtiere, sememangnya dinantikan oleh peminat yang menggemari jenama terbabit.

Beliau berkata, pengguna di Malaysia bertuah kerana pelancaran wangian terbaharu ini diadakan lebih awal beberapa berbanding di Paris, Perancis sendiri.

"Februari dipilih kerana ia adalah permulaan kepada musim panas selain bertepatan dengan kehadiran Hari Valentine dan begitu sesuai bagi mereka yang mahu menjadikan Rose Pompon sebagai hadiah istimewa kepada pasangan mereka," kata ibu kepada dua anak remaja perempuan ini.

Penghasilan wangian Rose Pompon juga disifatkan sebagai manifestasi kegembiraan bagi wanita.

   

Camille berkata, ketika menghasilkan wangian ini beliau membayangkan seorang wanita muda di tengah kesibukan kota Paris yang melangkah riang seolah-olah menyambut kehadiran musim panas dengan penuh gembira.

"Ia adalah perasaan secara semula jadi yang berjaya menarik perhatian dan mempesonakan sesiapa saja yang melihatnya ibarat seperti lagak seekor burung yang sedang terbang bebas.

"Jadi, wangian bunga mawar Annick Goutal yang baharu ini adalah lambang kewanitaan. Mungkin ia boleh menjadi satu tafsiran baharu mengenai kesegaran dan wangian ros yang bergabung untuk menghasilkan satu tarikan yang memberahikan.

"Kedua-duanya menjadikan satu tarikan dan pancaran sinaran yang mewakili wanita Paris," katanya mengenai haruman yang dihasilkannya itu.

Sentuhan dua pakar

Rose Pompon hasil kerjasama Camille dengan pakar minyak wangi terkemuka, Philippine Courtiere yang disifatkan mereka hasil sentuhan dua insan yang bersilang kerana kedua-duanya ketika zaman kanak-kanak membesar dalam dunia 'wangian'.

Kedua-duanya berkongsi tradisi keluarga yang sama dengan ditakdirkan menjadi pembuat minyak wangi walaupun pada awalnya memulakan karier sebagai seorang jurugambar bagi Camille dan sebagai peguam bagi Philippine.

Camille berkata, walaupun wangian daripada bunga mawar bukan satu konsep baharu tetapi beliau berasakan tidak salah baginya untuk mencuba semula menghasilkan sesuatu yang lebih menyegarkan sesuai dengan peredaran masa kini.

Katanya, seperti juga bidang fesyen yang sentiasa berubah dan berulang semula, begitu juga dalam penghasilan minyak wangi yang disifatkan beliau mempunyai aliran yang hampir sama.

Ros Bulgaria dan Ros Taif

Ditanya jangka masa yang diambil untuk menyiapkan wangian ini, Camille berkata, sukar baginya memberikan jawapan tepat memandangkan beliau akan menghasilkan beberapa formula sekali gus.

"Ia mungkin bermula lebih awal beberapa tahun sebelumnya kerana kami tidak menghabiskan keseluruhan masa untuk menyiapkan hanya satu formula yang sama.    Mungkin boleh dikatakan ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk menghasilkan sesuatu wangian tetapi kadang kala ia memakan waktu lebih lama," katanya.

Rose Pompon adalah gabungan pati Ros Bulgaria dan Ros Taif yang memiliki dua personaliti yang berbeza iaitu satu daripada lembah ros manakala satu lagi daripada wilayah di Arab Saudi yang kemudian turut diadun bersama bahan terpilih lain seperti ros pepper, blackcurrant dan raspberry, peony, cedar, patchouli dan white mask.

Wangian ini boleh didapati dalam dua saiz iaitu 100 milileter (ml) (RM585) dan 50ml (RM440).

Berita Harian X