Khamis, 11 Februari 2016 | 7:29pm

Media Prima dilantik penyiar rasmi Liga M 2016-2018

KUALA LUMPUR: Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) melantik Media Prima Berhad (Media Prima) sebagai penyiar rasmi saingan Liga Malaysia (Liga M) untuk tempoh tiga tahun, bermula pada musim ini.

FMLLP iaitu syarikat yang akan menguruskan Liga-M mulai musim ini, dalam kenyataan hari ini berkata Media Prima akan memulakan liputan menyeluruh pada 13 Februari ini dengan menyiarkan dua perlawanan secara langsung mulai jam 9 malam.

Media Prima akan memulakan liputan dengan menyiarkan secara langsung aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta'zim menentang Selangor menerusi saluran TV3.

Ia juga menyiarkan perlawanan pembukaan Liga Super antara pasukan Perak menentang Kelantan menerusi saluran TV9.

Peminat bola sepak juga boleh menonton sehingga tiga perlawanan seminggu termasuk liputan penuh musim Liga-M di platform televisyen dan Tonton (siaran dalam talian).

"Perjanjian ini termasuk liputan siaran langsung atau tertunda bagi perlawanan Liga Super (dua perlawanan setiap pusingan) dan Piala FA Superbest Power (satu perlawanan setiap pusingan) mulai Februari hingga Mei 2016.

"Media Prima akan menyiarkan satu perlawanan setiap pusingan Piala Malaysia TM mulai sepak mula pada Julai 2016," kata kenyataan itu.

Hak penyiaran stesen televisyen percuma antara FMLLP dan Media Prima adalah hasil rundingan MP & Silva, penasihat global Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi hak media dan komersial.

"Kami berterima kasih kepada Media Prima atas sokongan mereka dan kami gembira dengan perjanjian ini yang membolehkan lebih ramai peminat menyaksikan bola sepak Malaysia secara langsung," kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid berkata pihaknya sentiasa bersemangat memberikan liputan terbaik dan siaran berkualiti kepada penonton.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam pula menyifatkan kerjasama yang dijalin antara pihaknya dan Media Prima dapat memberi manfaat kepada peminat bola sepak yang ramai.

Hak penyiaran antara FMLLP dan Media Prima adalah hasil rundingan MP & Silva, Penasihat Global Persatuan Bola Sepak Malaysia bagi hak media dan komersial.

"Liga M memiliki sejarah yang unik dan kekal sebagai salah satu sukan yang paling ditonton di negara ini.

"Kami sentiasa bersemangat untuk memberikan isi kandungan berkualiti untuk peminat bola sepak Malaysia dan kami begitu teruja dengan kesempatan untuk menyiarkan liputan terbaik buat penonton," kata Kamal.

Berita Harian X