Rabu, 10 Februari 2016 | 10:16am

Ringgit rendah pada dagangan pagi

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini ekoran permintaan lemah bagi unit tempatan itu, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, ringgit didagangkan pada 4.1630/1700 daripada 4.1520/1620 berbanding dolar AS pada Jumaat lalu.

Peniaga berkata, kedudukan unit tempatan juga sejajar dengan dolar AS yang dibuka pada paras rendah 3 1/2-bulan hari ini, dipengaruhi oleh kemerosotan ekonomi global selepas harga minyak dunia jatuh lagi.

"Dengan dolar AS diniagakan pada paras ini disebabkan kejatuhan harga minyak mentah dunia, Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin menangguh keputusannya untuk menaikkan kadar faedah dalam tempoh terdekat," katanya.

Ringgit juga didagangkan kebanyakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9819/9895 dari 2.9672/9754 dan lebih lemah berbanding yen kepada 3.6326/6403 dari 3.5514/5612.

Ringgit bagaimanapun meningkat berbanding British pound kepada 6.0197/0319 dari 6.0312/0478 tetapi lebih rendah berbanding euro kepada 4.6996/7092 dari 4.6469/6598 sebelumnya.

Pasaran modal ditutup pada Isnin dan Selasa sempena cuti umum Tahun Baharu Cina.

- BERNAMA

Berita Harian X