Rabu, 10 Februari 2016 | 12:05am
KETUA Pegawai Penerbangan Flyboard Malaysia Sdn Bhd, Raja Aris Dzulkifli (kanan), bersama tenaga pengajar, Adam Eizaaz Rashid, ketika melakukan demonstrasi sukan air 'Flyboard', di Kelab Sukan Kraft Air Malaysia, Putrajaya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Raja Aris Dzulkifli (kiri), melihat peminat Flyboard menguji kemahiran mengapungkan diri dan terbang di permukaan Tasik Putrajaya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KETUA Pegawai Penerbangan Flyboard Malaysia Sdn Bhd, Raja Aris Dzulkifli.
Raja Aris Dzulkifli menunjukkan antara kelengkapan sukan air 'Flyboard'.
Raja Aris Dzulkifli menunjukkan antara kelengkapan 'Flyboard'
Raja Aris Dzulkifli menunjukkan antara peralatan Flyboard
Raja Aris Dzulkifli (kiri), ketika mengetuai demonstrasi sukan Flyboard di Tasik Putrajaya.
PEMINAT sukan air mencuba Flyboard di Kelab Sukan Kraft Air Malaysia, Putrajaya.

Terbang di permukaan tasik dengan Flyboard


PUTRAJAYA: Sukan air lasak, Flyboard, semakin mendapat perhatian dalam kalangan penggemar permainan ekstrem negara ini bagi menguji adrenalin dan keupayaan diri masing-masing.

Flyboard diperkenalkan pada 2012 sebelum memasuki negara ini dua tahun kemudian, membolehkan pemainnya terbang atau terapung di udara dengan tekanan air yang disalurkan kepada kasut khas yang perlu dipakai.

Ia bukan semudah disangka kerana pemakai kasut khas seberat lapan kilogram itu perlu berusaha mengimbangi kedudukan badan di udara tanpa sebarang sokongan. 

Ketua Pegawai Penerbangan Flyboard Malaysia, Raja Aris Dzulkifli, berkata jet ski dan kasut Flyboard adalah komponen penting yang saling melengkapi untuk sukan air terbabit.

"Hos getah khas sepanjang 20 atau 30 meter yang menyambungkan antara kasut Flyboard dengan jet ski berperanan mengepam keluar dan masuk air. 


PEMINAT sukan air mencuba Flyboard di Kelab Sukan Kraft Air Malaysia, Putrajaya.

"Air yang dipam melalui jet ski akan disalurkan ke kasut berkenaan. Bantuan pendikit minyak pada jet ski akan membuatkan pemakai kasut Flyboard terapung di udara hasil tekanan air dalam hos," katanya ketika ditemui di pejabat Flyboard Malaysia dekat Marina Putrajaya di sini.

Raja Aris berkata, asas permainan lasak itu sama seperti sukan papan luncur yang memerlukan keseimbangan.

"Kegagalan mengimbangi badan boleh menyebabkan individu itu terhempas. Ada juga individu yang gagal untuk terapung.

"Sebelum turun ke tasik, kita terangkan dahulu langkah-langkah yang perlu dilakukan sebelum mengadakan ujian keyakinan diri khusus kepada mereka yang baru pertama kali.

"Mereka diajar berenang secara mendada serta berbaring di permukaan tasik dengan memakai jaket dan topi keselamatan bagi tujuan membiasakan diri dengan air.


Adam Eizaaz ketika melakukan demonstrasi Flyboard di Tasik Putrajaya.

"Selepas selesa, langkah mengendalikan Flyboard adalah mengimbangi bahagian hadapan dan belakang kasut yang dipakai. Pemain perlu menahan tekanan air yang disalurkan pada hos yang disambungkan di bahagian kaki dengan menggerakkan kasut itu ke atas dan bawah," katanya.

Wartawan BH bersama juruvideo, Ikmal Ismail, turut diberi peluang merasai pengalaman bermain sukan air lasak ini. Walaupun teruja, namun perasaan gementar dan takut tetap menyelubungi hati kerana bimbang tenggelam ekoran kasut Flyboard yang terasa berat.

Namun, tidak seperti yang dibimbangi, jaket keselamatan yang dipakai membolehkan kami sentiasa timbul di permukaan tasik sebaik terhempas.

Kami diminta membiasakan diri dengan kasut secara melakukan pergerakan tubuh kanan ke kiri secara berenang mendada di permukaan tasik.

Sebaik bersedia, pengajar, Adam Eizaaz Rashid, 21, yang mengendalikan jet ski memberi arahan bersedia untuk berdiri dan terapung.


PENGAJAR, Adam Eizaaz Rashid (kanan), melihat pelancong mencuba sukan Flyboard di Kelab Sukan Kraft Air Malaysia, Putrajaya.

Walaupun agak sukar pada mulanya, kami mengambil masa lima hingga 10 minit untuk terapung di udara selama 10 saat sebelum terhempas semula ke dalam air.

Namun Raja Aris menyifatkan keupayaan kami mengapungkan badan itu sudah cukup bagus kerana ada pelanggan yang langsung tidak terapung walaupun mencubanya berkali-kali.

Mengulas kos peralatan terbabit, Raja Aris berkata, Flyboard dikategorikan sebagai sukan air kos tinggi kerana kelengkapan perlu diimport dan sekurang-kurang RM100,000 diperlukan bagi membeli kasut Flyboard, jet ski dan peralatan keselamatan lain.

Sukan Flyboard diperkenalkan pelumba jet ski dari Marseille, Perancis, Franky Zapata, yang membangunkan peralatan serta kelengkapan yang diperlukan.

"Kasut sahaja tidak mencukupi, ia memerlukan jet ski. Ketika ini bagi sepasang kasut flyboard sekitar RM35,000 manakala jet ski RM50,000. Berbanding dahulu, hanya dapat kasut Flyboard, sekarang ini pembeli juga boleh mendapatkan dapat hoverboard (papan luncur berfungsi seperti Flyboard).

"Dianggarkan 2,000 unit flyboard terjual di seluruh dunia dengan tiga daripadanya di negara ini iaitu masing-masing dua di Putrajaya dan satu di Melaka," katanya yang mengesahkan di Melaka, sukan itu akan dibuka dalam tempoh terdekat, selain perancangan memperkenalkan ia di Semporna, Sabah bulan hadapan.

Berita Harian X