Sabtu, 6 Februari 2016 | 12:01am
MINI Mini Cafe yang terletak di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur berkonsepkan suasana ceria dengan dihiasi pelbagai boneka anime yang diimport dari luar negara. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
KEBANYAKAN pelanggan menyukainya kerana menjanjikan kepelbagaian pilihan rasa. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
NASI sushi bersama rendang ayam antara menu istimewa. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PENGUNJUNG boleh memilih sama ada menikmati aneka pilihan piza ataupun cadangan menu. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
MEMPERTARUHKAN konsep yang disifatkan baharu bagi kalangan pelanggan restoran tempatan. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
MMC turut menyediakan pelbagai jenis spageti dan pasta termasuk pasta kofta kambing dan karbonara ayam panggang. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Nasi sushi rendang ayam di Mini Mini


MINI Mini Cafe di tingkat tiga, Midvalley. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

DI KOREA SELATAN: Cafe Blue Fairy dan Nine9 Style, kedua-duanya terletak di Hongdae, Seoul menjadi tempat pertemuan sekali gus memenuhi keseronokan pengumpul anak patung BJD (ball and joint doll) melayani hobi mereka.

Di Paris, Cafe de Flore menyajikan tarikan utama kotak kecil, Petit Matin du Flore (Sepertiga malam di Flore) karya seniman Perancis, Charles Matton.

Memuatkan replika kenit bilik tidur, pustaka, pawagam dan sebagainya, ia sehingga kini tidak pernah gagal menimbulkan rasa kagum pengunjung kafe itu.

Bagi peminat replika rumah berserta perabot bersaiz mikro, anak patung BJD malah karektor komik dan kartun popular di negara ini tidak perlu berbelanja ribuan ringgit semata-mata ingin menjengah beberapa tarikan popular di luar negara, sebaliknya memadai sekadar berkunjung ke Mini Mini Cafe (MMC) di tingkat tiga, Midvalley.

Kafe ini mengambil ilham warna-warni patung BJD dan alam fantasi kanak-kanak meliputi barisan watak Alice in The Wonderland, Mickey Mouse dan Minnie, kartun Sailormoon dan keluarga komik Peanuts.


KAFE ini mengambil ilham warna-warni patung BJD dan alam fantasi kanak-kanak. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

MINI Mini Cafe yang terletak di pusat membeli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur berkonsepkan suasana ceria dengan dihiasi pelbagai boneka anime yang diimport dari luar negara. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Inspirasi dari hobi unik

Pemiliknya yang hanya ingin dikenali sebagai Datin Jercy berkata, beliau terpanggil untuk berkongsi keseronokan hobi mengumpul miniatur dan patung bersama pengunjung restorannya selepas mendapati ramai menaruh minat terhadap kesukaan yang sama.

"Kisah saya mengumpul replika rumah mini dilengkapi perabot bersaiz halus serta anak patung aneka jenis pernah disiarkan dalam majalah, mendapat sambutan.

"Mengetahui hobi dan reaksi positif diterima, saya ditawarkan membuka kafe menggunakan tema berkenaan di tingkat tiga pusat beli belah ini," katanya.

Bertujuan menyerikan selain mempertaruhkan konsep yang disifatkan baharu bagi kalangan pelanggan restoran tempatan, Jercy banyak melakukan pembelian patung dari Amerika Syarikat, Belanda, Australia dan Sepanyol.

"Untuk imej dan wajah segar restoran, kebanyakan hiasan berupa figura patung bersama replika perabot dan aksesorinya, saya import khas dari luar negara," katanya.


TRIO burger mini yang mengutarakan roti hitam, putih dan coklat bersama tiga isi pilihan iaitu daging, ayam dan salmon. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Pavlova rangup, mudah cair

Mengenai menu popular, Jercy menyebut burger ayam mini, burger trio mini mengemukakan ayam, daging dan ikan salmon, nasi lemak ayam berempah, nasi sushi dimakan bersama rendang ayam, Tabiko Sushi Rice Shell selain pencuci mulut, wafel cantuman rasa pisang serta mentega kacang, sandwic penkek dan pavlova buah-buahan mampu memikat selera.

Diberi kesempatan menjamah sebahagian daripada makanan dalam senarai, penulis tidak menafikan keenakan rasa pavlova yang rangup dan mudah cair dalam mulut, sementara kombinasi rendang ayam bersama sushi meskipun sedikit janggal tetapi menghidangkan keunikan rasa menerusi pedas kuah rendang dan lemak manis sushi.

Trio burger mini

Pengurus MMC, Masri yang hadir melayani kami pada petang itu, menyarankan penulis mencuba trio burger mini yang mengutarakan roti hitam, putih dan coklat bersama tiga isi pilihan iaitu daging, ayam dan salmon.

"Kebanyakan pelanggan menyukainya kerana menjanjikan kepelbagaian pilihan rasa, manakala saiz burger yang comel menjadikan ia tidak renyah dimakan dan dikunyah," katanya merujuk burger yang boleh dihabiskan dengan dua kali suapan itu.


ANTARA hidangan utama yang disajikan di Mini Mini Cafe. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

MASRI menunjukkan antara hidangan utama yang disajikan di Mini Mini Cafe. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Tidak semua bersaiz kecil

Bagaimanapun, Masri berkata, tidak semua menu ditawarkan dalam saiz kecil sesuai dengan tema kafe ini, sebaliknya memberitahu ia terhad kepada burger mini dan nasi sushi.

"Selebihnya, sama dengan saiz hidangan biasa malahan pelanggan akui kuantiti sajian sepadan harga," katanya turut menyediakan pelbagai jenis spageti dan pasta termasuk pasta kofta kambing dan karbonara ayam panggang.

Genap dua bulan beroperasi, MMC menunjukkan penghargaan buat pelanggannya menerusi promosi harga RM9.90 membabitkan sesetengah menu dengan minuman soda disertakan.

Pengunjung boleh memilih sama ada menikmati aneka pilihan piza ataupun cadangan menu seperti spageti Al Fungi pomodoro, nasi lemak ayam berempah, karborana ayam panggang, vongole kerang mahupun burger ayam mini.

Kafe ini juga merancang untuk memperkenalkan menu baharu seperti laksa Johor dan sup kambing.

Berita Harian X