Jumaat, 5 Februari 2016 | 3:49pm

Toyota mungkin syarikat pertama Jepun untung 3 trilion yen

TOKYO: Toyota Motor Corp menaikkan unjuran keuntungan selepas peningkatan jualan model kenderaan utiliti sukan (SUV) RAV4 dan Lexus, meletakkannya di landasan untuk menjadi syarikat Jepun pertama mencecah 3 trilion yen (AS$25.7 bilion) dalam keuntungan operasi tahunan.

Pendapatan bersih berkemungkinan naik kepada 2.27 trilion yen bagi tahun berakhir Mac, daripada ramalan terdahulu 2.25 trilion yen, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Penganalisis meramalkan pengeluar automotif terbesar dunia itu berkemungkinan meraih 3.07 trilion yen keuntungan operasi dalam tempoh 12 bulan, demikian unjuran 26 penganalisis yang dikumpul Bloomberg.

Syarikat itu berkata, ia akan membeli semula sehingga 0.74 peratus sahamnya.

Pendapatan bersih suku ketiga menokok 4.7 peratus kepada 628 bilion yen (AS$5.38 bilion), mengatasi anggaran purata penganalisis sebanyak 619.9 bilion yen (AS$5.31 bilion).

Mengikut syarikat itu, ramalan setahun penuh syarikat tidak mengambil kira impak terhentinya pengeluaran bulan ini disebabkan kekurangan alat ganti.

Di bawah kepimpinan, Presiden Toyota, Akio Toyoda, syarikat itu mencatat rekod jualan tertinggi bagi model hibrid Prius buat tahun ketiga berturut-turut, jauh mengatasi semua kenderaan hibrid yang dikeluarkan syarikat lain.

Dengan SUV menerima permintaan yang tidak diduga di Amerika Syarikat (AS), Toyota memposisikan kompak RAV4 untuk mengambil tempat sedan Camry sebagai kenderaan paling laris di pasaran terbesarnya itu.

Lexus mencatat prestasi terbaik global pada 2015 dan berada hanya di belakang BMW di AS.

Tempoh kejayaan Toyota tidak menghalang syarikat itu daripada membuat perubahan pada syarikat itu.

Ia bercadang menghentikan jenama Scion yang disasarkan kepada pembeli muda AS pada Ogos, melancarkan penjenamaan semula ke atas semua model kecuali satu sebagai Toyota, sementara membeli Daihatsu Motor Co pada pertimbangan tunai 389 bilion yen.

Pengambilalihan sepenuhnya Daihatsu bertujuan menjadikan syarikat itu pengeluar kereta kecil global, setaraf Mini.

Toyota juga meninjau peluang untuk mengukuhkan perkongsian dengan Mazda Motor Corp. - Bloomberg

Berita Harian X