Jumaat, 5 Februari 2016 | 12:07am
PAKAIAN badut yang sebahagiannya dibeli dari luar negara. - Foto Fariz Iswadi Ismail
SHAHRILL bergambar bersama kanak-kanak pada satu majlis. - Foto Fariz Iswadi Ismail
SHAHRILL juga mahir melakukan silap mata sebagai nilai tambah kepada persembahannya
SHAHRILL gembira dengan tugasnya menghiburkan tetamu dan kanak-kanak dalam pakaian badut. Foto Fariz Iswadi Ismail

Kerjaya badut hasil lumayan


PUTRAJAYA: Pemegang ijazah jurusan Sains Geometri, Shahrill Mohamed Nasaruddin, membuktikan beliau tidak silap memilih untuk menjadi badut profesional sebagai punca pendapatannya.

Kini, persembahan Shahrill Mohamed mampu membawa pulangan lumayan biasanya antara RM200 hingga RM1,000 bagi satu pertunjukan bergantung kepada pakej yang dikehendaki pelanggan.

Beliau juga mempunyai kontrak persembahan dengan sebuah syarikat pengusaha taman hiburan tanah tinggi.

Selain menghiburkan orang ramai dengan telatah jenaka badut, beliau juga berupaya melakukan silap mata yang dipelajarinya dari internet, buku dan pengalaman orang yang berada dalam bidang itu.

Shahrill yang sedang menunggu kelahiran anak sulungnya tahun ini juga menerima jemputan persembahan sehingga ke Brunei dan Thailand.

Sikap yang mudah mesra dengan kanak-kanak dan suka menggembirakan orang di sekelilingnya membuatkan beliau tidak menyesal memilih kerjaya badut profesional biarpun memiliki segulung ijazah sarjana muda dari Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.


SHAHRILL Mohamed Nasaruddin mengadakan persembahan di pelbagai majlis keramaian. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Beliau berkata, persepsi dan stigma masyarakat yang memandang lekeh kepada kerjaya badut, tidak mematahkan semangatnya.

Mengakui hasratnya menceburi bidang itu mendapat tentangan keluarga pada peringkat awal, beliau tidak silap membuat keputusan itu selepas kejayaan yang dikecapi pada hari ini.

"Ketika mula-mula menceburi bidang ini, memang saya tidak mendapat sokongan keluarga, maklumlah mana ada ibu bapa yang suka kalau hantar anak belajar sampai ke universiti tetapi apabila tamat pengajian, memilih untuk bekerja sebagai badut.

"Kalau mengikut bidang pengajian diambil, saya sepatutnya menjadi juru ukur tanah bertauliah tetapi cuba melawan arus dengan membuat sesuatu yang menjadi minat saya," katanya kepada BH.

Malah, katanya, ketika belajar di universiti lagi beliau mencari pendapatan sampingan dengan menjadi badut dan persembahan silap mata jika ada masa terluang.

"Mungkin daripada sekadar suka-suka, saya melihat potensi bidang ini di sini, sekali gus menguatkan azam untuk lebih serius dalam kerjaya ini dan membuktikan kepada keluarga bahawa sebagai badut profesional, kita juga mampu meraih rezeki dan berjaya sekiranya berusaha bersungguh-sungguh," katanya.


SHAHRILL Mohamed Nasaruddin. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Shahrill, atau lebih mesra dipanggil 'Mr Yaya Magic Clown' dalam kalangan kanak-kanak, berkata pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang itu banyak mengajarnya cara untuk memajukan diri dan meneroka peluang baharu dalam memastikan kelangsungan kerjaya serta menambah pendapatan.

"Berkat kesabaran, tidak mudah putus asa selain sentiasa berusaha mencari dan menambah ilmu baharu dalam bidang ini, saya bersyukur dengan rezeki dikurniakan Allah SWT.

"Perniagaan saya, Yaya Party Station, kini beroperasi di sebuah premis di Country Homes, Rawang sejak tiga tahun lalu, yang turut menjadi pusat latihan badut selain mempunyai 15 kakitangan yang membantu menggerakkan perniagaan," katanya.

Shahrill berkata, sehingga kini beliau sudah mempunyai koleksi lebih 20 pakaian badut pelbagai karektor selain lebih 15 pasang kasut yang akan dipakainya silih berganti mengikut kesesuaian dan tema majlis serta persembahan.

"Modal lebih RM20,000 sudah dikeluarkan bagi membeli pakaian dan kelengkapan badut sehingga kini, ada yang saya gunakan ketika persembahan dan ada juga saya simpan sebagai hobi.

"Biasanya kain untuk dibuat pakaian badut saya beli di luar negara sebelum dijahit sendiri, begitu juga kasut yang mana paling mahal pernah saya beli berharga RM2,700.


SHAHRILL mengenakan solekan badut sebelum membuat persembahan. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KOLEKSI kasut badut milik Shahrill. - Foto Fariz Iswadi Ismail

"Bagi menjadi seorang badut yang bagus, sememangnya kita perlu membuat sedikit pelaburan. Justeru, pakaian yang unik dan mempunyai karektor badut tersendiri adalah perlu supaya mudah diingati terutama oleh kanak-kanak," katanya.

Tambah beliau, untuk terus maju dalam bidang itu, badut perlu rajin menambah ilmu selain kerap menonton persembahan orang lain di serata dunia menerusi internet bagi menambah kemahiran dalam persembahan.

"Dalam bidang ini kita tidak boleh selesa dengan kemahiran tertentu yang sudah ada, contohnya tidak boleh mengehadkan diri dengan menjadi badut membuat belon, sebaliknya perlu juga menguasai kemahiran lain bagi mengembangkan bakat serta memajukan diri," katanya

Shahrill berkata, di negara ini perkhidmatan badut kebiasaannya diperlukan bagi memeriahkan sambutan hari jadi atau sebagai program selingan kepada persembahan besar berunsur pendidikan di sekolah atau sambutan perayaan.

"Berbeza di negara luar, badut kebanyakannya sangat popular di taman tema, sarkas atau persembahan seni jalanan, namun di Malaysia, lebih banyak sambutan hari jadi. Jadi, peluang untuk mengadakan persembahan sentiasa ada.

"Banyak juga syarikat korporat yang mengundang saya untuk mengadakan persembahan sebagai sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan mereka termasuk menghiburkan kanak-kanak di sekolah, hospital atau rumah anak yatim," katanya yang sudah mengadakan lebih 1,000 persembahan.


SHAHRILL dengan imej badut sebelum memulakan persembahan. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, sepanjang pengamatannya membuat persembahan di sekolah, beliau melihat kanak-kanak lebih mudah memahami apa yang disampaikan menggunakan kaedah yang diselangi lawak jenaka berbanding secara serius.

"Contohnya, taklimat pendidikan mengenai kebakaran yang disampaikan bomba kepada murid, kadang-kala ia tidak sampai kerana mereka cepat bosan berbanding kaedah menggunakan badut untuk menyampaikan sesuatu maklumat.

Beliau juga bercita-cita untuk menghasilkan buku berkaitan bidang badut yang boleh memberi inspirasi dan berkongsi petua serta pengalaman dengan mereka yang mungkin mahu membina kerjaya dalam bidang itu.

"Saya mahu kerjaya badut ini dinaiktaraf dan dipandang tinggi oleh masyarakat dan pada masa sama, dapat berkongsi pengalaman yang ada dengan mereka yang berminat menceburi bidang ini," katanya yang juga Setiausaha Persatuan Badut Malaysia.

 

Berita Harian X