Jumaat, 5 Februari 2016 | 12:00am

Cantikkan bibir kusam

SAYA berusia 20-an dan mengalami masalah bibir kusam dan wujudnya garisan halus. Saya tidak boleh menggunakan gincu. Saya dapati ada kerutan dan garisan halus pada bibir sehingga merasakan ia tidak berseri.

Nurul Tania Fatiha Kamarulzaman - Kota Damansara, Selangor

Seorang wanita yang kemas berbedak, jika tidak mengenakan gincu sudah pasti penampilannya terjejas. Tidak sempurna kemasan wajah seseorang tanpa gincu yang tercalit indah pada bibir.

Bibir juga menjadi titik tumpu pada wajah seseorang. Bibir yang sihat berwarna sedikit kemerahan dan kelihatan lembap meskipun tidak disapu sebarang losyen atau pelembap bibir.

Kulit bibir yang tipis akan berwarna sekata. Apabila usia meningkat, warna bibir turut berubah menjadi kusam dan pigmentasi mula terhasil.

Masalah bibir

Masalah pada bibir yang sering terjadi apabila kulit bibir kering dan mengelupas. Ia biasanya berlaku apabila kita alah kepada gincu atau losyen tertentu. Bibir yang kering dan merekah akan perit serta menyakitkan.

Apabila kulit pada bibir bermasalah sudah pasti seseorang tidak dapat mengenakan gincu kegemarannya. Jika disapu gincu kerap kali masalah menjadi lebih teruk dan bibir semakin kering serta gatal.

Ini menimbulkan rasa kecewa kepada wanita yang gemar berhias kerana tanpa gincu sudah tentu mereka berasa tidak sempurna.

Kaedah rawatan

Pengambilan Vitamin C yang banyak dan ubat sapuan untuk menahan sakit serta mengurangkan keradangan apabila masalah ini terjadi.

Lebih elok menggunakan pelembap bibir yang mengandungi vitamin dan pelembap tinggi ia amat baik untuk bibir kita.

Ada kalanya ulser menjadi serius dan antibiotik diperlukan. Apabila gejala menjadi serius, ada kala ia menyebabkan masalah pada gusi dan halitosis iaitu mulut yang berbau.

Bagi kes sebegini pengambilan vitamin secara suntikan amat berkesan. Ia lebih cepat bertindak dan kita dapat memberikan dos yang sebenar dengan tepat.

Inginkan bibir menawan?

Bagi mereka yang memiliki bibir yang kecil dan kurang menyerlah, penggunaan filler mampu mengatasinya.

* Filler yang disuntik pada sekeliling bibir membuatkan bibir tampak lebih menawan dan seolah-olah terlukis indah. Bagi wanita yang memasuki usia 40-an, warna bibir sudah tentu pudar dan bibir juga turut mengecut menjadi kecil. Penggunaan filler akan menyerlahkan semula bentuk bibir menjadikan bibir lebih anggun dan tebal.

* Filler hyaluronic acid, lemak juga boleh di gunakan untuk menganjalkan bibir dan membentuk bibir. Kaedah ini di lakukan dengan menggunakan lemak daripada badan sendiri yang diambil pada bahagian peha atau pinggul dan diproses.

Selepas diproses, lemak itu boleh disuntik terus ke dalam bibir . Penggunaan lemak yang mengandungi kolagen dan stem cell secara semula jadi boleh menyerikan bibir sejurus selepas di suntik.

Lemak yang disuntik juga mampu menahan selama satu hingga dua tahun dan kaedah ini bebas daripada alahan kerana menggunakan lemak daripada badan kita sendiri.

Laser pada bibir

Penggunaan laser untuk menjadikan bibir lebih merah, menganjalkan tekstur dan mengurangkan kerekahan serta garisan kerutan halus pada bibir menjadi pilihan artis terkenal Hollywood.

Laser yang mengguna gelombang tertentu dipancarkan pada bibir dalam tempoh antara tiga hingga lima minit. Pancaran laser akan merangsang kolagen dan tisu elastin yang ada pada bibir. Tiada kesan bengkak, kemerahan atau terbakar dapat dirasai.

Apabila kolagen dan elastin dirangsang, ia akan menjadikan warna bibir kemerahan, mengurangkan garisan halus dan melembutkan lagi tekstur bibir.

Sesi laser bergantung pada masalah pada bibir. Kebiasaannya memerlukan tiga hingga tujuh sesi untuk menampakkan hasil yang memuaskan dan biasanya dilakukan setiap dua minggu dan ke atas.

Berita Harian X