Khamis, 4 Februari 2016 | 6:34pm

LZS sasar kutipan, agihan zakat RM645 juta


PENGERUSI Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohd Adzib Mohd Isa (kanan) bersama Ketua pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hussin Mohd Ali (dua kiri) serta Pengurus Besar Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid (kiri) menunjukkan replika prestasi kutipan dan agihan zakat Negeri Selangor di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam. - Foto Nazran Jamel

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan dan agihan zakat berjumlah RM645 juta pada tahun ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd, berkata sasaran itu dibuat selepas mengambil kira faktor kesedaran mengeluarkan zakat yang meningkat dalam kalangan masyarakat, selain pertambahan bilangan asnaf saban tahun.

"Kutipan zakat tahun ini lebih mencabar berbanding tahun sebelumnya dan jumlah fakir serta miskin pada 2015 adalah 44,293 keluarga," katanya kepada pemberita pada sidang media pengumuman prestasi kutipan dan agihan zakat negeri Selangor di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini, hari ini.

Mohamad Adzib berkata, daripada jumlah itu, bilangan asnaf fakir yang menerima bantuan adalah 13,138 keluarga manakala bagi asnaf miskin, seramai 31,155 keluarga diberi zakat berbanding 30,048 keluarga pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, LZS mengutip sejumlah RM626.6 juta pada 2015, peningkatan berbanding kutipan RM582.3 juta pada 2014.

"Daripada jumlah itu, RM605.2 juta adalah kutipan zakat harta manakala RM21.5 juta daripada zakat fitrah," katanya.

Beliau berkata, bilangan pengeluar zakat harta bagi 2015 adalah 256,540 orang, meningkat tiga peratus berbanding 248,013 orang pada tahun sebelumnya.

Bagi agihan wang zakat, katanya, sejumlah RM676.3 juta diagihkan kepada asnaf pada 2015, meningkat 14 peratus berbanding RM595.7 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Adzib berkata LZS membuka dua cawangan di Klang dan Cyberjaya, menjadikan 28 cawangan di seluruh Selangor setakat ini.

Katanya, sebuah pusat dialisis MAIS dengan kerjasama antara LZS dan Yayasan Darul Ehsan (YIDE) dijangka akan beroperasi pada April ini bertempat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong di sini.

Berita Harian X