Khamis, 4 Februari 2016 | 12:06am

Dalami ilmu al-Quran usaha murni

S: Apakah nasihat ustaz kepada kami yang lemah ilmu hadis ini untuk mengenali hadis sahih supaya kami dapat mengelak daripada mengamalkan hadis palsu.

J: Terima kasih kepada saudara kerana mempunyai kesedaran untuk mendalami ilmu hadis. Hari ini semua orang begitu bersungguh-sungguh mendalami ilmu al-Quran. Itu satu usaha yang sangat murni dan baik. Namun begitu, tidak kurang yang jahil terhadap hadis sahih yang wajib diketahui dan diamalkan.

Perkara ini dapat dibuktikan apabila program `Rasul yang Kata' kendalian saya yang disiarkan di TV9 mendapat sambutan memberangsangkan. Program itu membicarakan mengenai hadis sahih dan palsu. Ramai yang memberi komen positif kerana mereka dan anak dapat mempelajari makna dan jenis hadis palsu.

Bahkan ada yang berterima kasih kerana mereka baru tahu amalan yang diamalkan selama ini adalah berasaskan hadis palsu. Menyandarkan sesuatu kenyataan kepada baginda Nabi SAW sedangkan baginda tidak pernah menyatakan perkara itu adalah satu jenayah dan fitnah.

Golongan yang menyebarkan hadis palsu ini akan menyebabkan mereka dihumban ke dalam api neraka walaupun amalan terkandung dalam kenyataan itu dapat memberi keinsafan kepada manusia. Walaupun begitu, beramal dengan sesuatu amalan mulia menyandarkan kenyataan ulama tertentu adalah dibenarkan kerana tiada sebarang unsur fitnah ke atas Baginda SAW.

Oleh itu, untuk mengenali hadis sahih belilah buku seperti Sahih Muslim, Sahih Bukhari, Riyad al-Salihin dan lain-lain. Kesemua hadis sahih dalam buku itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan dihuraikan dengan gaya bahasa mudah difahami.

Selain itu, saudara boleh bertanyakan terus kepada ustaz dan ustazah yang pakar dalam bidang hadis. Usaha sebegini mampu menambah nilai ilmu dalam diri khususnya bagi memahami hadis Nabi SAW.

S: Apakah hukum kita beramal dengan sesuatu hukum yang berasaskan hadis mauduk. Bolehkah kita beramal dengan hadis mauduk untuk tujuan memperbaiki akhlak kerana saya dapati kata-katanya sangat menarik untuk diamalkan.

J: Perlu diingatkan kepada semua umat Islam bahawa sesuatu hukum tidak boleh dibina kecuali berasaskan dalil yang kuat seperti al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas. Berhubung dengan al-Quran memang tidak dinafikan yang ia sangat tepat dan mustahil berlakunya penipuan.

Manakala hadis Nabi SAW pula tidak boleh diambil kecuali hadis yang diiktiraf sahih oleh ulama hadis. Ini bermakna hadis mauduk (palsu) tidak boleh dijadikan sandaran untuk penentuan sesuatu hukum. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: "Sesiapa sahaja yang mendustaiku dengan sengaja, maka akan ditempatkan dia di dalam api neraka." (Riwayat Muslim)

Nabi SAW bersabda: "Sesiapa sahaja yang menyampaikan sesuatu kenyataan yang disandarkan kepada Nabi sedangkan ia adalah satu penipuan, maka orang itu adalah salah seorang daripada golongan yang menipu." (Riwayat Muslim)

Sehubungan itu, menyampaikan dan beramal dengan hukum yang berasaskan hadis mauduk adalah haram dan berdosa. Oleh sebab itu, hukum hakam tidak terbina atas hadis mauduk.

Menyandarkan sesuatu amalan, kata-kata kepada Nabi SAW tanpa sebarang bukti daripada al-Quran atau hadis sahih adalah bidaah dan diharamkan oleh Islam. Imam al-Khatib al-Bagdadi berkata, "Seorang perawi hadis wajib memastikan hadis yang disampaikan itu bukan daripada hadis rekaan atau palsu.

Ini kerana perbuatan terbabit akan menyebabkan umat Islam sesat sekali gus beramal dengan sesuatu yang tidak betul. Lebih bahaya lagi apabila hadis palsu yang disampaikan itu boleh menyebabkan umat Islam mengamalkan syirik atau khurafat.

Sehubungan itu, segala kenyataan palsu (hadis palsu) haram diamalkan sama ada untuk tujuan hukum atau akhlak.

S: Apa hukum main permainan video di bulan Ramadan supaya masa berlalu pantas dan tidak terasa lapar.

J: Ramadan adalah bulan ibadah yang perlu digandakan berbanding bulan lain kerana bulan itu fadilatnya cukup besar dan pahalanya juga berlipat kali ganda. Disebabkan itu, Nabi SAW dan sahabat sentiasa berdoa supaya Ramadan dapat dirasai oleh mereka setiap tahun.

Ramadan juga dikenali umum sebagai bulan ibadah, al-Quran, tadarus, iktikaf dan bulan doa. Oleh itu, adalah sangat rugi bagi mereka yang menghabiskan masa siang bermain permainan video kerana ia tidak langsung memberi impak atau nilai tambah dalam ibadah seseorang.

Apatah lagi jika permainan itu menyebabkan seseorang itu meninggalkan kewajipan solat dan amalan sunat pada Ramadan seperti membaca al-Quran, zikir dan seumpamanya. Walaupun begitu, tidak dinafikan permainan seperti itu mempunyai hukumnya yang tersendiri.

Harus bermain permainan video jika ia hanya sekadar menghilangkan kebosanan dan kesedihan hati tanpa mengabaikan kewajipan terhadap agama seperti solat fardu. Makruh, jika menyebabkan seseorang itu leka sehingga lewat untuk menunaikan kewajipan.

Haram hukumnya jika ia punca utama seseorang itu lewat menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah SWT dan manusia. Lebih teruk lagi apabila tabiat itu menjadi punca seseorang terjebak dengan perbuatan haram seperti arak, judi atau pergaduhan.

Sehubungan itu, nasihat saya kepada pencinta permainan video, bersederhana dalam melayan nafsu anda di bulan Ramadan yang mulia ini. Jangan keterlaluan sehingga terabai tanggungjawab kita dengan Allah dan tanggungjawab kita dengan manusia.

Berita Harian X